Pertimbang hukuman penggantungan terhadap Zamri - Khairy

Astro Awani
Oktober 29, 2016 07:29 MYT
Penggantungan dibuat berdasarkan komen yang ditulis Mohd Azmari (gambar) di laman Facebook berhubung wang hadiah kemenangan yang masih tidak dibayar ketika itu. - Gambar fail BERNAMA
Pertimbangkan semula hukuman yang dikenakan terhadap pelumba basikal profesional negara Mohd Zamri Salleh.
Itu saranan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Khairy menyifatkan hukuman penggantungan yang dikenakan kepada pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) itu terlalu berat berbanding kesalahan yang dilakukannya.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta Pesuruhjaya Sukan bagi membincangkan perkara terbabit dengan PKBM untuk mencari jalan penyelesaian.
"Dia (Zamri) hanya bertanya berkenaan hadiah kemenangannya yang terdahulu... hanya mempersoalkan perkara itu...beliau telah digantung PKBM...saya rasa hukuman itu tidak setimpal dengan apa yang dilakukannya.
"Saya tidak boleh campur tangan tetapi saya telah minta Pesuruhjaya Sukan bincang perkara ini kerana Zamri antara pelumba yang mungkin akan menggalas cabaran dengan mewakili negara pada tahun hadapan," katanya selepas menghadiri Program Retreat Pemuda Umno Malaysia di Tasik Kenyir, di sini yang dirasmikan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman malam tadi.
Menurutnya lagi, Zamri mungkin terpaksa membangkitkan isu itu dilaman sosial selepas menemui jalan buntu.
Zamri sebelum ini digantung lesen perlumbaan selama tiga bulan oleh PKBM atas kesalahan menggunakan perkataan yang memburukkan imej badan induk berbasikal negara itu.
Penggantungan pelumba berpengalaman TSG itu dibuat berdasarkan komen yang ditulis pelumba terbabit dalam laman sosial Facebook berhubung wang hadiah kemenangan yang masih tidak dibayar ketika itu.
Berdasarkan surat tata tertib dikeluarkan PKBM, penggantungan pelumba lebuh raya berusia 33 tahun itu berkuat kuasa 24 Okt 2016 sehingga 23 Jan 2017.
Dengan penggantungan itu, Mohd Zamri dilarang menyertai mana-mana kejohanan lumba basikal dalam dan luar negara dalam tempoh berkenaan.
Seorang lagi pelumba TSG, Mohd Shahrul Mat Amin, yang dikatakan turut mempertikaikan kredibiliti PKM bagaimanapun dilepaskan dengan amaran.
#basikal #Khairy Jamaluddin #komen di Facebook #Mohd Zamri Salleh #penggantungan #Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia #Pesuruhjaya Sukan
;