Pertemuan Kelantan-PKNS jadi tumpuan
Astro Awani
Februari 26, 2013 08:40 MYT
Februari 26, 2013 08:40 MYT
Saingan 16 akhir akan berlangsung pada Selasa dengan tumpuan pasti terarah kepada pertemuan antara juara bertahan Kelantan dan PKNS Selangor, serta aksi Kedah dan skuad barisan bintang, Johor Darul Takzim (DT).
Skuad Kelantan kendalian Bojan Hodak musim ini tampak masih merasai kehilangan dua penyerang utamanya musim lalu, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar.
Aksi kurang konsisten dengan kesukaran menyempurnakan peluang gol menjadi kekangan utama Kelantan musim ini.
Namun saingan Piala FA membuka peluang buat the Red Warrios menjelmakan kebangkitan.
Apa pun skuad PKNS Selangor kendalian Abdul Rahman Ibrahim, bukan lawan yang bileh dipandang mudah.
Awang import, Patrick Ronaldinho Wreh bakal menjadi sandaran utama PKNS untuk melakar kejutan di Kota Bahru.
Johor Darul Takzim kendalian Fandi Ahmad akan bertandang ke Alor Setar tanpa kelibat penyerang kebangsaan, Safee Sali yang kembali mengalami kecederaan buku lali.
Apa pun, skuad Harimau Selatan tidak ketandusan pilihan mengisi kekosongan bekas bintang Pelita Jaya itu.
Nor Shahrul Idlan Talaha dan Daniel Guiza dijangka menjadi pilihan Fandi di bahagian serangan.
Safiq Rahim dan Simeone Del Nero dijangka menjadi harapan di bahagian tengah manakala Aidil Zafuan Abdul Radzak menjadi sandaran di bahagian benteng pertahanan.
Skuad DT seharusnya memenangi pertemuan ini, berdasarkan prestasi semasa dan juga aksi kurang konsisten lawan dalam liga perdana musim ini.