Pertelingkahan Jackson-Madueke bayangi empat gol Palmer buat Chelsea
Astro Arena
April 16, 2024 10:10 MYT
April 16, 2024 10:10 MYT
CHELSEA 6 EVERTON 0
Empat gol jaringan Cole Palmer dalam kemenangan hebat Chelsea 6-0 ke atas Everton di Stamford Bridge dicemari oleh apa yang disifatkan oleh Mauricio Pochettino sebagai tingkah laku "tidak boleh diterima."
Ia ketika dua pemainnya terlibat dalam pertengkaran fizikal mengenai siapa yang harus bertanggungjawab mengambil sepakan penalti.
Skuad tuan rumah mendahului sejam permainan dengan empat gol sebelum Nicolas Jackson dan Noni Madueke mencetuskan adegan buruk yang membuatkan pengurus mereka berasa perlu meminta maaf kepada peminat yang menonton perlawanan ini di seluruh dunia.
Palmer, penendang penalti yang dilantik kelab itu, akhirnya tampil mengambil alih tugas berkenaan sesudah campur tangan ketua pasukan, Conor Gallagher, untuk merekodkan gol keempat peribadinya dalam perlawanan ini, sekali gus mengumpul 20 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
“Pemain tahu, kelab tahu bahawa Palmer adalah pemain yang ditugaskan untuk sepakan penalti,” kata pengurus itu.
"Saya sangat, sangat kecewa dengan keadaan ini. Ramai peminat yang menonton perlawanan ini di seluruh dunia dan kami tidak sepatutnya menghantar imej sebegini.
“Saya ingin meminta maaf kepada peminat kami. Disiplin adalah perkara yang paling penting untuk pasukan. Ini adalah sukan kolektif. Saya tidak akan menerima tingkah laku ini. Saya akan bertabah dan berjanji ia tidak akan berlaku lagi.
“Kami perlu meneruskan dan bercakap tentang perlawanan. Kemenangan 6-0 ke atas sebuah pasukan yang sangat bagus seperti Everton dan tidak dibolosi, bukankah kami sepatutnya gembira?”