Pertaruhkan pemain muda pendekatan wajar - Choong Hann

Bernama
September 11, 2021 04:01 MYT
Choong Hann berkata keputusan BAM menyenaraikan pemain muda adalah pendekatan sewajarnya, terutama dalam usaha badan induk itu menyediakan platform dan mengukur tahap kemampuan barisan pemain muda negara. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kepercayaan diberikan untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Piala Sudirman, Thomas dan Uber perlu dimanfaatkan sepenuhnya pemain muda negara, kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.
Choong Hann berkata keputusan BAM menyenaraikan pemain muda adalah pendekatan sewajarnya, terutama dalam usaha badan induk itu menyediakan platform dan mengukur tahap kemampuan barisan pemain muda negara.
Mengakui keputusan itu juga sebagai mempersiapkan skuad terbaik menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, beliau berkata tiga kejohanan berkenaan merupakan peluang terbaik pemain muda untuk beraksi menentang jaguh handalan dunia.
"Pemain muda harus mengambil kesempatan ini untuk menimba ilmu dan pengalaman kerana kita tahu dengan sistem pertandingan yang mempunyai beberapa 'tier', kebanyakan pemain muda memerlukan setahun lebih sebelum boleh bersama gelanggang dengan pemain di ranking 30 atau 20 terbaik dunia.
BAM pada Sabtu mengeluarkan senarai nama skuad ke ketiga-tiga kejohanan itu yang menyaksikan purata umur bagi pasukan yang akan beraksi di Piala Sudirman adalah 22 tahun dengan pemain paling senior berumur 26 tahun iaitu pemain beregu campuran Cheah Yee See.
Bagi saingan Piala Thomas, purata umur pasukan adalah 23 tahun dengan lima pemain berusia 24 tahun manakala purata umur skuad ke Piala Uber adalah 21 tahun dengan kapten pasukan yang juga pemain beregu wanita Lee Meng Yean, 27, adalah pemain paling senior.
Pada masa sama Choong Hann berharap pemain dapat mempelajari dan menilai sejauh mana tahap perbezaan prestasi mereka berbanding pemain di ranking lebih baik supaya dapat kembali berlatih lebih keras dengan objektif dan sasaran lebih jelas.
Piala Sudirman yang dijadual berlangsung di Vantaa, Finland akan bermula dari 26 Sept hingga 3 Okt sementara Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark akan berlangsung dari 9 hingga 17 Okt.
Sementara itu Choong Hann berkata setiap pemain mempunyai peluang untuk diturunkan, sekali gus menafikan akan terdapat 'penumpang' dalam pasukan di ketiga-tiga kejohanan itu.
Bagaimanapun beliau berkata sekiranya terdapat 'penumpang' ia bermakna pemain utama negara mempunyai prestasi yang stabil.
"Kita akan ambil langkah terbaik bagi memberikan pendedahan kepada semua, semuanya telah dirancang baik," tegasnya.
Skuad badminton negara ke Piala Sudirman, Thomas dan Uber akan berlepas ke Finland pada 21 Sept.
-- BERNAMA
#Wong Choong Hann #BAM #Piala Thomas #Piala Uber #Piala Sudirman
;