Pertandingan sukan luncur ombak pertama di Bachok tarik lebih 2,000 pengunjung

Bernama
Disember 15, 2024 04:45 MYT
Peserta beraksi pada pertandingan luncur air, 'Kemasin Surf Competition Volume 1' di Pantai Impian Kemasin, pada Ahad. - Foto BERNAMA
BACHOK: Pertandingan sukan luncur ombak yang pertama kali diadakan di Pantai Impian Kemasin di sini, yang bermula Jumaat dan berakhir Sabtu, akan dijadikan sebagai acara tahunan setiap kali musim tengkujuh di Kelantan.
Penganjur Kemasin Surf Competition Volume 1, Fazreen Haiqal Azmi berkata, sukan air ekstrem itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan orang muda dan menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung.
"Peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja dari Kelantan... ada yang datang dari Sabah, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur malah turut disertai peluncur ombak dari Portugal.
"Kebanyakan peserta menanam minat terhadap sukan luncur ombak ini menerusi pendedahan aktiviti di Cherating, Pahang yang sudah lama diadakan sejak tahun 1980-an," katanya kepada Bernama pada Sabtu.
Setiausaha Persatuan Luncur Ombak Kelantan itu berkata, tiga kategori telah dipertandingkan iaitu short board, long board, body board dan grommet (kanak-kanak bawah 16 tahun) yang dinilai dalam tempoh 15 minit bagi setiap sesi (hit).
Fazreen Haiqal berkata, usia peserta adalah dalam lingkungan 10 hingga 48 tahun dan penganjurannya adalah bagi memenuhi permintaan penggemar sukan itu yang diluluskan menerusi Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan.
"Biarpun banyak pantai boleh dijadikan lokasi sukan luncur ombak namun Pantai Impian Kemasin di Bachok adalah paling sesuai disebabkan faktor terdapat benteng pemecah ombak selain kedudukan strategiknya yang berhadapan dengan Laut China Selatan," katanya. - BERNAMA
#pertandingan sukan luncur ombak #Bachok #Pantai Impian Kemasin #musim tengkujuh #Kelantan
;