Pertahanan West Ham, Zouma, didenda kerja amal 180 jam kerana buli kucing

Astro Arena
Jun 2, 2022 13:37 MYT
Kurt Zouma dilihat meninggalkan Mahkamah Majistret Thames di London, 1 Jun 2022, selepas diarah melakukan kerja amal selama 180 jam dan dilarang memelihara kucing selama lima tahun. (Foto AP)
KURT Zouma diarahkan untuk melakukan kerja amal selama 180 jam selepas didapati bersalah kerana menendang dan menampar kucingnya.
Pertahanan West Ham itu turut dilarang untuk memelihara kucing selama lima tahun.
Dia dilihat menendang dan menampar kucingnya dalam satu video yang tersebar luas di laman-laman sosial pada awal Februari lalu sehingga mendapat perhatian Persatuan Diraja untuk Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSCPA) United Kingdom.
Pemain kebangsaan Perancis itu dijatuhkan hukuman berkenaan semalam selepas menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Majistret Thames minggu lalu -- didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan tindakan tidak sepatutnya yang mengundang kesengsaraan terhadap haiwan peliharaan.
BACA: Zouma terima padah gara-gara tendang kucing
BACA: Pemain West Ham United, Zouma mohon maaf aniaya kucing peliharaan
BACA: Pemain West Ham didakwa cederakan kucing peliharaan
Dua kucing milik Zouma itu telah diambil dan diletakkan di bawah jagaan RSCPA sejak Mac lalu dan pengurus West Ham, David Moyes, turut mengkritik tindakan "kejam" berkenaan selain kelab itu juga telah mengenakan denda maksimum terhadap pertahanan itu, yang dilaporkan bernilai £250,000 (RM1.3 juta).
#West Ham #Kurt Zouma #buli kucing #kerja amal
;