PERSPEKTIF: Pemain papan selaju tempatan tidak mahu lagi 'dipijak'
Ian Johan Ariff
Januari 3, 2018 15:00 MYT
Januari 3, 2018 15:00 MYT
SEPANJANG 23 tahun saya bermain papan selaju, tidak pernah saya bayangkan pemain-pemain papan selaju di negara ini dapat bersatu sebagai tanda solidariti terhadap apa-apa isu.
Namun angin tersebut sudah berubah, pemain-pemain papan selaju di negara ini tidak lagi mahu ditindas oleh sebuah organisasi yang didakwa mengambil kesempatan terhadap sukan itu.
Organisasi yang saya maksudkan adalah Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (MESA).
Sabtu lepas, lebih kurang seratus peminat dan pemain papan selaju berkumpul di tengah bandar Kuala Lumpur untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap MESA.
Mereka memakai baju putih dengan menggunakan hashtag #DemiSkateboarding selain #BoikotMESA.
Tujuan asal mereka berkumpul di Kuala Lumpur bukan untuk memboikot salah satu acara yang dianjurkan MESA pada hari yang sama protes itu diadakan.
Namun, ia dijadikan salah satu medan bagi pemain-pemain papan selaju membuktikan bahawa mereka tidak mahu lagi MESA mentadbir sukan yang mereka sayangi.
Semuanya bermula dengan berita pelantikan presiden MESA, Tan Sri Darshan Singh sebagai salah seorang ahli Suruhanjaya Papan Selaju Dunia (WSC) pada 20 Disember lalu.
Pelbagai persoalan dibangkitkan termasuk adakah beliau layak untuk menjadi pemimpin sukan papan selaju?
Bukan sahaja kerana beliau bukan seorang pemain papan selaju tetapi MESA tidak pernah benar-benar menyumbang kepada pembangunan sukan itu.
Ini dikaitkan dengan pelantikan Darshan sebagai naib presiden Persekutuan Papan Selaju Antarabangsa (ISF) pada 2010 dan juga MESA yang dikatakan tiada program pembangunan yang teratur untuk sukan itu sejak 2010 lagi.
Sehingga 2017, para-para penggiat papan selaju tidak nampak sebarang sumbangan terhadap sukan itu malah acara atau kejohanan peringkat nasional juga tidak wujud ataupun tidak diadakan secara konsisten.
Kali terakhir pemilihan kontinjen negara diadakan pada 2014 seperti yang terdapat pada laman web rasmi MESA.
Sejak itu, laman web tersebut juga tidak dikemaskini.
Bukan itu sahaja, pemain papan selaju juga berang kerana tiada pembangunan di peringkat akar umbi diadakan setelah sekian lama ia ditubuhkan.
Pendek kata, mereka mendakwa MESA tiada hala tuju dan misi pertubuhan itu tidak jelas.
Luahan tersebut menerusi media-media sosial yang mempertikaikan pemilihan Darshan sebagai salah seorang ahli WSC dan juga masih menerajui MESA.
Kejohanan sukan ekstrem peringkat nasional yang diadakan baru-baru ini juga diumumkan menerusi media sosial tiga hari sebelum kejohanan diadakan.
“Bagaimana ia dikatakan salah satu acara pemilihan bagi kontinjen negara sedangkan ia diumumkan tiga hari sebelum tarikh kejohanan? Bagaimana ‘skaters’ di Sabah atau Sarawak nak datang ke Kuala Lumpur jika notis begitu lambat.” luahan seorang pemain papan selaju dari Kota Kinabalu, Alfian Fariadi bin Bashir Ahmad.
“Skaters di Sabah juga mempunyai atlet-atlet yang mampu bersaing dengan ‘skaters’ di semenanjung,” tambah Alfian yang kini menetap di Kelana Jaya.
Selama ini, pembangunan sukan papan selaju dilakukan oleh syarikat swasta, Skateboarding Malaysia Development (SDMLLP).
Mereka tidak boleh menubuhkan persatuan sukan papan selaju dibawah Pesuruhjaya Sukan untuk menjadi badan tadbir rasmi sukan itu.
Ini kerana MESA sudah didaftar sebagai badan rasmi sukan papan selaju dan juga sukan-sukan ekstrem yang lain di Malaysia.
SDMLLP diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Abdulazeez Wan Ruslan sejak penghujung tahun 2016 cuba membangunkan papan selaju dengan bantuan semua pemegang taruh dalam sukan itu.
Syarikat itu lengkap dengan laman web dan aplikasi mudah alih untuk memastikan pemain-pemain papan selaju mendapat informasi selain mendaftar untuk menyertai semua kejohanan yang dianjurkan SDMLLP.
Terdapat juga kejohanan di peringkat akar-umbi berusia 14 tahun ke bawah selain klinik-klinik papan selaju yang dianjurkan dalam jelajah yang dianjurkan SDMLLP sepanjang tahun lepas.
Bagi Abdulazeez, MESA seakan ditubuh sekadar untuk menaikkan nama Darshan sahaja.
“Kami tidak nampak apa-apa usaha daripada beliau untuk membangunkan papan selaju di Malaysia. Anjur kejohanan pun setahun sekali. Dari segi pemilihan atlet wakil negara pun berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini, kebanyakan dipilih adalah kroni kepada orang dalam persatuan itu,” kata Abdulazeez.
Tambah Azeez, dia tidak boleh bekerjasama dengan MESA kerana persatuan itu tidak pernah memberi apa-apa bentuk sokongan dan bantuan sepanjang penubuhannya.
Itu kata pemain-pemain papan selaju, apa pula kata pemimpin sukan tempatan.
Dalam laman Facebook 'Borak Skateboard', Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Datuk Sieh Kok Chi ada memberi komen mengenai isu ini.
“Papan selaju adalah untuk pemain papan selaju. Orang luar perlu menghormati semangat, komitmen, dedikasi atlet papan selaju sama seperti atlet yang lain.” komen Kok Chi dalam salah satu posting di Facebook tersebut.
Sebagai wartawan sukan yang berpengalaman lebih sepuluh tahun, saya agak terkejut dengan pencapaian Darshan di MESA, kerana beliau merupakan salah seorang tokoh sukan berprofil tinggi di negara ini. Apatah lagi, beliau cukup berpengalaman dalam membangunkan sukan berbasikal di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Banyak pembangunan telah beliau lakukan terutamanya dalam pembangunan velodrom di Ipoh, Perak yang pernah digunakan untuk Sukan SEA pada 1989.
Bukan sahaja di peringkat kebangsaan, Darshan juga disegani dalam arena sukan berbasikal antarabangsa dengan menganjurkan beberapa acara berbasikal bertaraf dunia seperti Kejohanan Berbasikal Dunia B (1997) dan Kejohanan Berbasikal Asia (1993) di Malaysia.
Bagaimanapun, lain cerita pimpinan Darshan dalam sukan ekstrem sejak lebih kurang lapan tahun mengetuainya.
Akibatnya, keadaan menjadi kucar-kacir di jalan-jalan Kuala Lumpur Sabtu lepas.
Atlet-atlet yang kerap berlatih di gelanggang sukan ekstrem membuat keputusan untuk bermain di kawasan MRT Pasar Seni dan taman-taman sekitar bandar Kuala Lumpur.
Mereka tidak pergi menyokong dan menyertai pemilihan tersebut kerana sudah jelek dengan janji-janji kosong MESA.
Ini bukan kali pertama boikot terhadap MESA diadakan.
Lebih kurang tiga tahun lepas, kejohanan pemilihan kontinjen kebangsaan juga diboikot namun jumlahnya sangat kecil.
Kali ini bekas atlet kebangsaan seperti Ahmad Fadzil Musa turut sama tidak menyokong pertubuhan itu.
Perkara ini dapat disaksikan menerusi media sosial pemain-pemain papan selaju selain laman web seperti Burned and Stoked.
Ratusan pemain selaju tersebut mungkin tidak berkumpul dengan begitu ramai dan bermain di tempat awam jika ada acara yang betul-betul memikirkan pembangunan sukan itu di negara ini pada hari tersebut.
Sehingga waktu ini, Astro AWANI masih menunggu penjelasan MESA berhubung isu ini.
#Abdulazeez Wan Ruslan
#Ahmad Fadzil Musa
#Alfian Fariadi
#boikot
#ISF
#Johary Fitri Khairuddin
#MESA
#OCM
#Papan Selaju
#Persekutuan Papan Selaju Antarabangsa
#Pesuruhjaya Sukan
#SDMLLP
#skateboarding
#Suruhanjaya Papan Selaju Dunia
#Tan Sri Darshan Singh
#WSC