Persiapan penuh Sukma Sarawak bermula hari ini

Astro Arena
Julai 1, 2016 08:28 MYT
Menurut kenyataan Sekretariat Sukma Sarawak, pada masa ini seramai 620 sukarelawan teknikal telah dipilih untuk membantu menjayakan temasya itu. - Foto Bernama
Bermula hari ini, Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Sarawak akan memulakan persiapan penuh bagi memastikan temasya itu berjalan dengan lancar dan sempurna.
Ini termasuk memastikan urusan kemudahan penginapan dan pengangkutan atlet sepanjang temasya dari 22 hingga 31 Julai depan akan berjalan lancar.
Untuk tujuan itu, raptai mula diadakan seawal jam 6.45 pagi ini bagi memastikan semua kenderaan dan pegawai dapat mengikuti masa yang dijadualkan, serta menguji laluan-laluan yang akan digunakan.
Bagi memastikan proses pengangkutan berjalan lancar, sebanyak 25 bas Rapid KL yang sebelum ini digunakan untuk kejohanan-kejohanan bertaraf dunia di Kuala Lumpur akan menjadi pengangkutan rasmi atlet dan pegawai Sukma XVIII nanti.
Bas-bas ini akan bergerak di sepanjang perkampungan sukan di Kampus UNIMAS di Kota Samarahan ke gelanggang pertandingan yang berselerakan di sekitar bandar raya Kuching, termasuk di Kompleks Sukan Sarawak di Petra Jaya.
Menurut kenyataan Sekretariat Sukma Sarawak, pada masa ini seramai 620 sukarelawan teknikal telah dipilih untuk membantu menjayakan temasya itu.
“Mereka dibahagikan kepada kepada dua kategori, iaitu sukarelawan teknikal, yang berperanan membantu pegawai-pegawai sukan melaksanakan tugas di tempat acara sukan diadakan dan sukarelawan am yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
"Sukarelawan ini datangnya dari seluruh negeri Sarawak, dan terdiri daripada 60 peratus orang awam manakala selebihnya adalah kakitangan agensi kerajaan negeri Sarawak," kata kenyataan itu lagi.
Semua sukarelawan ini telah menjalani dua fasa latihan bagi memberikan mereka pemahaman secukupnya mengenai tugasan mereka.
"Ini termasuk memberi pendedahan dan maklumat terkini mengenai penyelenggaraan pertandingan dan acara selain tatakerja yang lebih sempurna."
Daripada 620 sukarelawan yang berdaftar, terdapat kira-kira 20 sukarelawan yang berumur 65 tahun ke atas dan pernah menjadi sukarelawan sukan ketika kali pertama Sarawak menjadi tuan rumah Sukma pada 1990.
Sebanyak 24 sukan akan dipertandingkan kali ini, dengan 19 adalah sukan wajib manakala lima lagi adalah sukan pilihan.
Daripada jumlah ini, 19 acara sukan akan dilangsungkan di bandar raya Kuching serta Kota Samarahan, manakala tiga acara di Sibu dan dua acara di Miri.
#berita sukan #pengangkutan #Penginapan #pengurusan atlet #persiapan #SUKMA #Sukma Sarawak #tuan rumah
;