Persiapan Mohd Zaqhwan di Litar Jerez terjejas akibat hujan

Bernama
Mac 20, 2015 18:56 MYT
Mohd Zaqhwan dan pasukannya tetap positif untuk menggunakan segala peluang yang ada dengan sebaik mungkin. - Facebook/Zaqhwan Zaidifail
Rancangan asal persiapan pelumba muda negara, Mohd Zaqhwan Zaidi bagi kemunculan sulung pada Kejuaraan Motosikal MotoGP Dunia bagi kelas Moto2 musim ini, terjejas akibat hujan lebat di Litar Jerez, Sepanyol, semalam.
Menurut kenyataan pasukannya, JPMoto, cuaca mencabar itu telah mengehadkan masa pelumba itu di atas trek, sekali gus tidak dapat menguji motosikal jenis Suter ke tahap maksimum pada sesi ujian pasukan itu.
Bagaimanapun, Mohd Zaqhwan dan pasukannya tetap positif untuk menggunakan segala peluang yang ada dengan sebaik mungkin bagi mempersiapkan pelumba itu serta jentera bagi membuka tirai perlumbaan musim 2015 di Litar Losail, Qatar, pada 29 Mac ini.
"Sudah tentu, rancangan tidak berjalan seperti dirancang. Hujan lebat telah menjejaskan sesi ujian di Litar Jerez pada dua hari pertama. Saya hanya mampu melakukan jumlah pusingan yang terhad," kata pelumba berusia 19 tahun itu dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, kami akan berusaha keras dan mempersiapkan diri untuk Qatar, katanya.
Mohd Zaqhwan menamatkan sesi ujian di tangga ke-22 dengan catatan masa sepusingan satu minit 49.255 saat manakala dua lagi pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzzaman (Idemitsu Honda Team Asia) dan Hafizh Syahrin (Petronas Raceline Malaysia) masing-masing mencatatkan masa 1:45.729s dan 1:46.523s.
Dalam kategori Moto3, pelumba negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin berkata keadaan litar yang basah amat mencabar selepas terbabas pada pusingan kedua.
"Saya hanya mampu melakukan sembilan pusingan sahaja," kata pelumba pasukan Sepang International Circuit (SIC) itu.
Rakan sepasukannya, Jakub Kornfeil dari Republik Czech buat julung kali melakukan ujian di litar tersebut dan menyifatkan keadaan trek yang basah membolehkan mereka mempersiapkan jentera mengikut perlumbaan dalam litar yang basah.
#litar #Mohd Zaqhwan Zaidi #Moto2 #MotoGP #sepanyol
;