Persekutuan Renang Malaysia teroka bakat baharu menerusi program atlet muda

Bernama
Mac 2, 2024 04:45 MYT
Menurut MAS, seramai 16 penerjun iaitu lapan lelaki dan perempuan bawah umur 11 tahun akan dipilih oleh ISN dalam masa terdekat. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MAS) akan memperkenalkan program atlet muda (fast track) bagi mengenal pasti penerjun berpotensi di bawah umur 11 tahun untuk menjalani latihan secara sepenuh masa di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.
MAS, dalam satu kenyataan, memaklumkan program tersebut merupakan salah satu daripada lima komponen terkandung dalam pelan pemulihan sukan terjun yang diluluskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Terjun, Khamis lepas, sebagai usaha memulihkan prestasi sukan tersebut susulan persembahan mengecewakan pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, baru-baru ini.
Menurut MAS, seramai 16 penerjun iaitu lapan lelaki dan perempuan bawah umur 11 tahun akan dipilih oleh Institut Sukan Negara (ISN) dalam masa terdekat menerusi beberapa proses seperti mengenal pasti bakat, kem pemilihan serta ujian penilaian.
Kumpulan tersebut akan diletakkan di bawah pengawasan dua jurulatih sepenuh masa untuk pendedahan latihan dan penyertaan kejohanan lebih teratur di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
"Kumpulan atlet ini disasarkan akan bertanding secara kompetitif pada tahun 2026, bermula dengan penyertaan di peringkat remaja kebangsaan, Sukan Malaysia (SUKMA) dan juga beberapa kejohanan antarabangsa yang dipilih.
"Sasaran pencapaian pingat bermula seawal umur 16 tahun di peringkat Sukan SEA dan Kejohanan Remaja Dunia dengan penyertaan secara merit dan bersaing untuk pingat pada Temasya Sukan Olimpik Brisbane 2032 pada usia 19 tahun," menurut MAS semalam.
MAS turut mengenal pasti empat negeri berpotensi untuk dijadikan pusat latihan utama bagi memulakan program latihan lebih komprehensif.
Fokus utama dalam program pembangunan bakat negeri adalah menambah baik kemudahan dan fasiliti 'dry gym' serta penyediaan perkhidmatan awalan sains sukan dan perubatan sukan di peringkat negeri.
Selain itu, penstrukturan semula kejurulatihan turut dilaksanakan dalam pelan tersebut dengan cadangan tiga jurulatih untuk 13 atlet Program Podium, tiga jurulatih untuk 15 atlet Program Pelapis serta dua jurulatih masing-masing untuk program atlet muda dan program di setiap negeri.
Sementara itu, program latihan bagi persiapan ke temasya sukan termasuk Sukan SEA 2025, Sukan Asia 2026 dan Sukan Olimpik 2028 juga akan disusun semula dengan penetapan darjah kesukaran bersesuaian di setiap temasya.
"MAS juga akan memberi penekanan dalam memperkenalkan markah kelayakan minimum (MQS) pada beberapa kejohanan pemilihan dan kejohanan tempatan ditetapkan bagi memilih atlet ke sesuatu pertandingan dan temasya sukan utama.
"MQS bagi atlet pelapis adalah minimum ranking ke-24, manakala MQS bagi atlet podium adalah sekurang-kurangnya ranking ke-12," tambahnya.
-- BERNAMA
#Persekutuan Renang Malaysia #program atlet muda #penerjun #sukan terjun
;