Persaingan sengit posisi penjaga gol

Astro Awani
Januari 31, 2013 08:31 MYT
Menjelang aksi kelayakan bola sepak Piala Asia 2015, jurulatih penjaga gol skuad senior kebangsaan, Faozi Mukhlas mengakui sukar buat pilihan siapa penjaga gol utama untuk tugasan kali ini.
Menurut Faozi, kesemua penjaga gol negara telah menunjukkan prestasi memberangsangkan bersama pasukan negeri, masing-masing.
"Setelah sekian lama saya mengendalikan latihan dengan dorang dan tengok dari sudut perlawanan lepas, saya rasa posisi golkeeper menunjukkan satu konsistensi ketiga-tiga dorang, jadi sesiapa sahaja boleh diturunkan,” katanya.
Bagaimanapun, persaingan posisi itu bertukar kepada dua penjuru berikutan kecederaan yang dialami penjaga gol Perak, Farizal Marlias.
Ketika ramai pihak menjangkakan Khairul Fahmi Che Mat akan memikul tanggungjawab itu, Faozi pula menjelaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali turut berpotensi jadi benteng akhir pasukan.
Norazlan mempamer aksi mantap dalam beberapa perlawanan awal musim 2013 bersama The Red Giants.
Paling mencuri tumpuan kecemerlangannya menyelamatkan tiga sepakan penalti semasa aksi Piala FA menentang angkatan tentera malaysia, ATM, baru-baru ini.
#bola sepak #Faozi Mukhlas #Farizal Marlias #Khairul Fahmi Che Mat #Piala Asia #Piala FA
;