Perpindahan pemain tamat, pemain mana bakal menyerlah dalam EPL 2022/2023?

Astro Awani
September 3, 2023 05:30 MYT
Walaupun mendatangkan 12 pemain, Chelsea bukanlah pasukan yang paling aktif kerana pendatang baharu liga, Burnley membawa masuk 15 pemain pada musim ini.
TEMPOH perpindahan pemain untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) telah tamat secara rasminya dengan 20 pasukan giat menambah pemain untuk menguatkan pasukan masing-masing.
Seramai 153 pemain didaftarkan ke dalam EPL dengan semua kelab membelanjakan lebih daripada RM13 bilion atau lebih 2 bilion pound British.
Jumlah itu mengatasi liga negara lain meskipun di sebalik ‘kegilaan’ liga Arab Saudi menghimpunkan pemain bintang dalam liga mereka.
Penyandang juara, Manchester City tidak begitu aktif dalam jendela perpindahan kali ini, merekrut lima muka baharu termasuk Mateo Kovacic dan Matheus Nunes.
Begitupun, dua daripadanya, Jeremy Doku yang ditandatangani dari Rennes dan Josko Gvardiol dari RB Leipzig merupakan antara pemain muda meningkat naik.
Arsenal pula, tangga kedua musim lepas, mendatangkan bekas pemain Chelsea, Kai Havertz, Declan Rice dari West Ham dan Jurrien Timber dari Ajax untuk memantapkan pasukan.
Mason Mount, Andre Onana, Rasmus Hojlund dan bintang dari Maghribi, Sofyan Amrabat pula akan memperkuatkan Manchester United untuk musim ini.
Newcastle United, pasukan yang meningkat naik membawa masuk pemain muda Itali, Sandro Tonali dan Havrey Barnes untuk membawa cabaran pasukan itu untuk tahun 2022/2023.
Liverpool pula memanfaatkan jendela perpindahan kali ini untuk menguatkan bahagian tengah pasukan dengan menandatangani Alexis Mac Allister, Dominik Szoboszlai, Wataru Endo dan Ryan Gravenberch.
Moises Caicedo, Romeo Lavia, Christopher Nkunku, Cole Palmer dan Nicolas Jackson menjadi rekrut terbaharu Chelsea yang kini dibarisi majoriti pemain muda di bawah umur 25 tahun.
Tottenham Hotspurs pula membawa masuk James Maddison, Brennan Johnson, Micky van De Ven dan pemain pinjaman musim lepas, Pedro Porro dan Dejan Kulusevski kini menjadi milik pasukan itu.
Pendatang baharu liga, Burnley merupakan pasukan paling aktif merekrut pemain baharu dengan membawa masuk 15 pemain pada musim ini.
#EPL #Manchester United #Manchester City #Arsenal
;