Permulaan musim baharu mengecewakan bagi Pearly-Thinaah
Bernama
Januari 9, 2024 23:19 MYT
Januari 9, 2024 23:19 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah memulakan musim baharu mereka dengan cara yang begitu mengecewakan apabila tersingkir awal pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, di sini, hari ini.
Walaupun memiliki sedikit kelebihan dengan dua kemenangan menuju ke Terbuka Malaysia, Pearly-Thinaah gagal mengekalkan rekod bersih mereka menentang pilihan kelapan dari China, Sheng Shu-Tan Ning, apabila tewas 20-22, 15-21 dalam tiga pertemuan sejak tahun lepas.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Pearly berasa terkilan kerana tidak dapat menyaingi rentak yang dimiliki lawan sambil mengakui hakikat bahawa gandingan China itu tampil dengan strategi yang lebih baik untuk memenangi perlawanan itu.
"Mereka banyak beri tekanan kepada kami dan ia berbeza berbanding sebelum ini. Ini antara punca utama kami tewas hari ini," katanya.
Sementara itu, kedua-dua pasangan profesional - beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi - membawa keceriaan kepada penyokong tuan rumah apabila berjaya mara ke pusingan kedua acara Super 1000 itu.
Soon Huat-Shevon terpaksa berhempas pulas selama sejam untuk menewaskan lawan mereka dari England, Gregory Mairs-Jenny Mairs, 21-16, 15-21, 21-17.
Soon Huat-Shevon akan berdepan pemenang perlawanan antara beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai Thailand dengan Robin Tabeling-Selena Piek dari Belanda bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.
Dalam pada itu, Yew-Sin Ee-Yi, mengambil masa 41 minit untuk menyingkirkan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, 21-14, 21-15 untuk menentang beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang menewaskan beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-16, 21-10.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terpaksa akur dengan kekalahan kepada beregu pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 12-21, 19-21.
-- BERNAMA