Permulaan baik bawah jurulatih baharu penting untuk kejayaan dalam Pestabola Merdeka - Daniel Ting

Bernama
September 5, 2024 14:30 MYT
Daniel Ting (dua, kanan) diasak oleh dua pemain Filipina pada perlawanan separuh akhir Pesta Bola Merdeka 2024 malam tadi. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Memperolehi kemenangan di bawah bimbingan ketua jurulatih yang baru dilantik Pau Marti Vicente adalah penting untuk Harimau Malaya, kata pemain pertahanan negara Daniel Ting.
Daniel berkata adalah penting bagi pasukan kebangsaan untuk bermula secara positif kerana mereka kini menyesuaikan diri dengan falsafah berbeza di bawah Vicente.
Beliau menambah bahawa persembahan mantap dan kawalan pasukan sepanjang perlawanan merupakan kunci dalam memastikan tempat di final Pestabola Merdeka.
"Saya fikir ia adalah persembahan yang baik daripada kami dan kami mengawal sebahagian besar permainan. Adalah penting untuk mendapatkan kemenangan dengan ketua jurulatih baharu dan bermula dengan cemerlang. Jadi, ia bagus untuk kami," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Mengimbas keputusan positif semalam, Daniel berkata pertahanan pasukan sangat mantap dan baik ketika mengawal bola.
Bagaimanapun, beliau berkata perlawanan seterusnya menentang Lubnan akan memberi cabaran berbeza berbanding perlawanan sebelumnya.
"Kami bertahan dan mengawal bola dengan baik, tetapi permainan menentang Lubnan akan menjadi lebih fizikal, jadi kami perlu bersedia," katanya.
Beliau juga berharap kehadiran penonton yang lebih besar pada perlawanan akhir nanti.
"Saya gembira dan berterima kasih kepada peminat yang berada di sini malam ini. Ia sentiasa menyenangkan untuk mempunyai penonton di stadium. Sudah tentu bertambah baik jika lebih ramai penyokong dapat hadir, tetapi itu di luar kawalan saya," katanya.
Pada perlawanan akhir Ahad ini, Malaysia di ranking ke-134 dunia akan berdepan Lubnan (113 dunia) yang menewaskan juara bertahan Tajikistan 1-0 semalam.
-- BERNAMA
#Pestabola Merdeka #harimau Malaya #Separuh Akhir #perlawanan akhir
;