Permohonan visa Azizulhasni ke Australia akhirnya lulus

Astro Awani
Februari 1, 2013 13:27 MYT
Pelumba basikal nombor satu negara, Azizulhasni Awang akhirnya diberi kelulusan visa oleh kerajaan Australia untuk terus berlatih di Melbourne.
Khabar gembira itu disampaikan melalui kiriman e-mel yang dihantar kepada Astro Awani dari Timbalan Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia, Datuk Naim Mohamad hari ini.
Menurut Naim, permohonan visa itu telah mendapat kelulusan pada 31 Januari oleh kerajaan Australia melalui pejabat kedutaannya di Kuala Lumpur.
“Akhirnya kelulusan visa Azizulhasni yang dinantikan telah pun berjaya diperoleh. Kita ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Australia dan pejabat Kedutaan Besar Australia di Kuala Lumpur atas kerjasama yang diberikan,” kata Naim.
Kelulusan visa itu turut melibatkan permohonan isteri Azizulhasni iaitu Athiah Ilyana Abd Samat dan anak beliau yang baru dilahirkan November lalu, Amma Maryam Azizulhasni.
Mohd Azizulhasni Awang atau lebih dikenali sebagai “Pocketrocketman” telah menanti kelulusan permohonan visa itu semenjak pulang ke tanahair Oktober lalu kerana ingin menemani isteri beliau yang bakal melahirkan anak pertama.
Kelewatan kelulusan permohonan visa itu dipercayai berlaku kerana tindakan Mohd Azizulhasni sendiri yang ingin menguruskan visa itu yang turut melibatkan permohonan oleh isteri dan anaknya.
Sebelum ini, sebarang proses permohonan visa oleh atlet Malaysia diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Dengan kelulusan itu juga, Azizulhasni dijangka menyertai Kejohanan Berbasikal Asia di India pada Mac ini.
#basikal #kerajaan Australia #Mohd Azizulhasni Awang #Visa
;