Perlumbaan MotoGP British dibatalkan kerana keadaan litar

Bernama
Ogos 26, 2018 04:45 MYT
Orang ramai menggunakan payung untuk berteduh ketika hujan turun dan perlumbaan MotoGP British dibatalkan, Silverstone, England, 26 Ogos, 2018. (David Davies/PA via AP)
Hujan lebat memaksa perlumbaan MotoGP di Litar Silverstone pada Ahad dibatalkan.
Selepas pelumba MotoGP memanaskan badan dan jentera dalam keadaan litar kering, hujan mulai turun selepas kelas sokongan berakhir dan menjadi lebat selepas pelumba kelas premier masuk ke grid.
Terdahulu satu mesyuarat antara penganjur perlumbaan, Dorna, Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan pelumba MotoGP diadakan bagi membuat keputusan mengenai perlumbaan itu.
"Kami berjumpa dan berbincang mengenai keadaan itu. Kami sudah membuat keputusan awal untuk perlumbaan ditangguhkan tetapi keadaan litar tidak bertambah baik biarpun hujan sudah reda , litar masih terlalu basah. Keselamatan masih menjadi keutamaan kami.
"Keadaan litar masih lagi basah. Kami membincangkan pelbagai pilihan termasuk mengadakan perlumbaan esok tetapi ia adalah mustahil," kata Pengarah Perlumbaan MotoGP, Mike Webb dalam satu sidang media.
Permulaan Grand Prix British ditangguhkan kerana cuaca buruk di litar.
Dengan hujan lebat sepanjang hujung minggu, perlumbaan sudah diawalkan daripada waktu perlumbaan asal dari 1 tengah hari kepada 11.30 pagi dalam usaha untuk menghadapi keadaan cuaca tetapi hujan berterusan, memaksa pegawai menangguhkan masa perlumbaan atas sebab keselamatan.
Sementara itu pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan Monster Yamaha Tech 3 berkata beliau menerima keputusan yang telah dibuat.
"Daripada sudut teknikal, komisar keselamatan telah memuktamadkan yang perlumbaan itu dibatalkan
"Pembatalan ini disebabkan oleh faktor keselamatan trek yang tak selamat dan keadaan cuaca yang tidak baik. Sesi kelayakan saya juga kurang baik. Untuk pusingan seterusnya saya mahu meningkatkan cengkaman dan sudut teknikal jentera," katanya.
-- BERNAMA
#cuaca #Grand Prix #Hafizh Syahrin Abdullah #hujan #keselamatan #litar #Mike Webb #MotoGP #pelumba #Silverstone
;