Perlumbaan di Sepang sengit, harap tuah cuaca cerah - Bagnaia

Bernama
November 9, 2023 23:21 MYT
Bukan itu sahaja, pelumba Ducati Lenovo Team itu berkata cuaca hujan yang diramalkan pada hari perlumbaan turut memberikan cabaran mendebarkan untuk para pelumba beraksi di litar. - Gambar Bernama
SEPANG: Penyandang juara dunia Francesco Bagnaia meramalkan perlumbaan sengit pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Malaysia 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.
Bukan itu sahaja, pelumba Ducati Lenovo Team itu berkata cuaca hujan yang diramalkan pada hari perlumbaan turut memberikan cabaran mendebarkan untuk para pelumba beraksi di litar.
"Boleh dikatakan, SIC adalah litar kegemaran saya dan saya suka berada di sini. Tapi saya mengharapkan tuah cuaca (cerah) nanti," katanya pada sidang media praperlumbaan di sini hari ini.
Hanya 13 mata memisahkan beliau dari pencabar terdekat Jorge Martin dari Prima Pramac Racing, pelumba Itali itu berkata pengalaman lepas boleh menjadi kunci untuk meredakan tekanan dan mengekalkan kedudukan utama dengan baki tiga pusingan lagi.
Pelumba berusia 26 tahun itu mendahului carta kejuaraan dunia dengan 389 mata, diikuti Martin dengan 376 mata manakala Marco Bezzecchi dari Mooney VR46 Racing Team di tempat ketiga dengan 310 mata.
Sementara itu, Martin mendedahkan percutian selama seminggu di Bali, Indonesia baru-baru ini membantu beliau lebih tenang untuk menghadapi perlumbaan esok.
Pelumba Sepanyol itu berkata dua kemenangan berturut-turut di GP Indonesia dan Thailand bulan lepas meningkatkan keyakinannya yang jelas teruja untuk berlumba pada GP Malaysia.
"Saya sangat gembira dapat cuti seminggu. Perasaan itu (untuk menang) kembali di Malaysia dan saya tidak sabar untuk berlumba," katanya.
Bezzecchi pula mengakui beliau tidak berada dalam keadaan optimum selepas mengalami kecederaan di bahu kanan semasa latihan awal bulan lepas.
"Keadaan saya tidak 100 peratus kerana apabila saya memberikan tekanan di bahu saya, timbul pelbagai masalah," katanya.
Di sebalik cabaran dihadapinya, pelumba Itali berusia 24 tahun itu tetap berazam untuk mengatasi halangan dan mencipta kejayaan dalam perlumbaan.
GP Malaysia membuka tirai esok dengan sesi latihan bebas, diikuti sesi kelayakan pada Sabtu dan perlumbaan pada Ahad.
-- BERNAMA
#mengalami kecederaan #memberikan tekanan #mencipta kejayaan #cuaca hujan
;