Perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo ditunda ke Ogos

Bernama
April 11, 2013 08:37 MYT
Perlumbaan berbasikal Jelajah Borneo yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 30 April ini terpaksa ditunda pada 22 hingga 26 Ogos ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Pihak penganjur dalam kenyataan hari ini berkata tarikh baharu itu dipersetujui oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) atas permintaan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM).
Pada PRU ke-13, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 April ini sebagai hari penamaan calon manakala pengundian pada 5 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Jelajah Borneo, Datuk Fredie Sua berkata walaupun berlaku kelewatan, mereka mengharapkan kejohanan edisi kedua kali ini akan mencapai kejayaan yang lebih gemilang.
"Tarikh baharu itu tidak menimbulkan masalah kerana kami memang sudah cukup bersedia menjayakan perlumbaan ini," katanya.
Perlumbaan yang mendapat pengiktirafan status 2.2 daripada UCI itu menarik penyertaan sejumlah 20 pasukan tempatan dan luar negara
Perlumbaan lima peringkat itu akan bermula dari Semporna ke Tawau yang melibatkan jarak sejauh 102.8km dan diikuti peringkat kedua, Tawau-Lahad Datu (146.6km); Lahad Datu-Sandakan (181.8km); Sepilok-Kundasang (214.8km) dan Kundasang-Kota Kinabalu (112.4km).
Pada edisi pertama tahun lepas, pelumba New Zealand Michael Torckler yang mewakili pasukan Pure Black Racing Team, menjuarai kejohanan itu.
#basikal #jelajah borneo #perlumbaan
;