Perluas caruman KWSP, Perkeso kepada atlet bukan Program Podium - Atlet
Bernama
Disember 31, 2023 05:15 MYT
Disember 31, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diharap dapat diperluas kepada atlet bukan di bawah Program Podium.
Penembak veteran Nur Suryani Mohamed Taibi menyifatkan cadangan itu sebagai adil memandangkan mereka juga memerah keringat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
"Pada saya kalau kata nak cuba dulu bagi atlet Program Podium ok kerana elaun mereka tinggi, tapi diharapkan ia tidak hanya terhad kepada mereka dan perlu menyeluruh lagi nanti," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, atlet berusia 41 tahun yang menjalani program latihan berfasa di Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkata cadangan tersebut boleh dipertimbangkan sekiranya elaun latihan atlet dinaikkan.
Beliau berkata memandangkan kebanyakan atlet yang menjalani latihan di MSN berdepan kos sara hidup tinggi, kenaikan itu wajar supaya caruman dengan KWSP dan Perkeso tidak menjejaskan pendapatan diraih mereka.
Pada 21 Nov lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan caruman KWSP dan Perkeso yang akan dilaksanakan bermula Januari 2024 telah diputuskan oleh Lembaga Pengurusan MSN selepas kajian semula skim elaun latihan atlet kebangsaan dengan penekanan kepada kesejahteraan atlet diluluskan.
Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, Hannah berkata caruman itu merupakan pengubah keadaan yang dilaksanakan kerajaan kerana sebelum ini tiada sebarang program membolehkan atlet negara mencarum dengan KWSP dan Perkeso.
Pemain skuasy wanita negara Aifa Azman pula berpandangan lebih baik sekiranya caruman itu diperluaskan kepada mana-mana atlet di bawah program latihan berumur 18 tahun dan ke atas.
"Saya sudah lama tunggu berita ini, ia adalah inisiatif yang baik...tetapi ia patut dilaksanakan mengikut kumpulan umur seperti 18 tahun dan ke atas," katanya.
Bekas Dekan Fakulti Sains dan Sukan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Prof Madya Dr Mohad Anizu Mohd Nor yang bersetuju dengan cadangan itu berkata tawaran caruman kepada semua atlet boleh dilakukan sekiranya kantung kewangan kerajaan mencukupi kelak.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata langkah memberi caruman kepada atlet Program Podium buat masa ini mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet dari program latihan lain supaya berusaha lebih keras bagi mendapatkan kelebihan tersebut.
"Kalau semua diberikan insentif tapi atlet tidak menghasilkan pingat dan tiada hasil, maka ketidakadilan berlaku di situ, orang yang menghasilkan pingat sama insentifnya dengan tidak berjaya," katanya.
Dalam pada itu, penganalisis sukan Datuk Dr Pekan Ramli berkata caruman KWSP dan Perkeso kepada atlet selain atlet Program Podium wajar diberikan sebagai bekalan buat mereka sekiranya ditimpa kemalangan selain menjaga kebajikan golongan itu.
Namun Pekan pada masa sama menyarankan atlet yang tidak berada di bawah Program Podium untuk mencarum sendiri di bawah KWSP dan Perkeso tanpa perlu menunggu KBS dan MSN.
"Zaman sekarang untuk atlet sudah tidak perlu risau, sebab atlet boleh sukarela menabung di KWSP dan Perkeso. Perkeso juga banyak menawarkan insentif kepada atlet untuk menabung, tidak semestinya menunggu KBS dan MSN, atlet sendiri boleh mula buat tabungan Perkeso dan KWSP," katanya.
-- BERNAMA