Perlu usaha sama FAM, MFL untuk biaya kos VAR - Naib Presiden FAM
Bernama
November 9, 2022 12:50 MYT
November 9, 2022 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pengeluaran dana bagi menampung kos penyediaan peralatan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR), memerlukan usaha sama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Naib Presiden FAM Mohd Firdaus Mohamed berkata ini kerana penggunaan VAR adalah untuk kelancaran pengadilan bagi perlawanan anjuran MFL, namun pengadil adalah daripada FAM.
"Dari segi pasukan pula, mungkin boleh membantu dari segi persiapan infrastruktur di stadium," katanya ketika diminta mengulas mengenai pihak yang perlu bertanggungjawab mengeluarkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan pembangunan pengadilan bola sepak tempatan di negara ini.
Mohd Firdaus bagaimanapun berkata pemeriksaan perlu dilakukan di semua stadium bagi memastikan tahap ketersediaan tempat agar sistem itu dapat dilaksanakan dengan baik.
"Ada sesetengah stadium yang mungkin tidak sesuai dan sebagainya, jadi jabatan teknikal perlu pergi dahulu ke setiap stadium bagi mengenal pasti dahulu apa yang perlu dinaik taraf.
"Kita lihat ia lebih kepada keperluan daripada tekanan untuk ke arah yang lebih profesional, malah negara jiran Thailand juga sudah pun menggunakan alatan VAR," katanya.
Pada Selasa, FAM menyatakan kesediaan untuk memperkenalkan sistem VAR dalam Liga Malaysia 2023 dengan Piala FA dan Piala Malaysia dipilih sebagai medan percubaan serta tertakluk kepada perlawanan tertentu seperti peringkat separuh akhir dan akhir.
-- BERNAMA