Perlu tingkatkan prestasi pada aksi akan datang - Apek

Bernama
Disember 8, 2021 04:50 MYT
Khairul Fahmi turut menjelaskan kepentingan berkomunikasi dan tegur-menegur di antara satu sama lain di dalam dan luar padang, terutamanya dalam meningkatkan keyakinan dan tunjuk ajar kepada pemain muda. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penjaga gol berpengalaman negara, Khairul Fahmi Che Mat mengakui bahawa skuad Harimau Malaya perlu melakukan banyak peningkatan dari segi prestasi untuk pergi jauh pada kempen Piala AFF kali ini.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang merupakan satu-satunya pemain yang kekal bersama pasukan yang muncul juara Piala AFF 2010, berkata walaupun gembira dengan kemenangan 3-1 menentang Kemboja pada perlawanan pertama Kumpulan B Isnin lepas, terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Ia merupakan perlawanan pertama selepas berkumpul, dan kita tidak ada aksi pemanas badan. Memang ada nampak kelemahan, tetapi kita boleh perbaiki lagi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
"Setiap penjaga gol mahu 'clean sheet' tapi aksi dengan Kemboja kita bolos sekali. Namun, yang penting kita berjaya meraih tiga mata dan perlawanan seterusnya berdepan Laos esok, saya kena lebih berhati-hati dengan situasi yang berlaku sebelum ini," katanya pada sidang media secara maya semalam.
Khairul Fahmi, yang lebih mesra disapa 'Apek' turut menjelaskan kepentingan berkomunikasi dan tegur-menegur di antara satu sama lain di dalam dan luar padang, terutamanya dalam meningkatkan keyakinan dan tunjuk ajar kepada pemain muda.
Beliau yakin skuad Harimau Malaya mampu mencipta kemenangan pada aksi menentang Laos, namun memberikan peringatan supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan, terutamanya dengan kehadiran penyerang kelahiran Perancis, Billy Ketkeophomphone yang beraksi dengan pasukan Ligue 2 USL Dunkerque.
"Sebab dah tahu dia punya kualiti yang main di Liga Perancis, jadi semua kena berwaspada dengan pemain utama Laos ini. Ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pun ada bagitahu, tunjukkan video Laos main, jadi apa yang kami dapat itu, kena gunakan dalam padang nanti.
"Sudah tentu kami inginkan kemenangan untuk raih tiga mata penuh, itu misi utama, selebihnya saya inginkan 'clean sheet', kemudian mungkin ada pemain-pemain inginkan jaringan gol atau sebagainya," tambahnya.
Selepas aksi menentang Laos pada 5.30 petang Khamis di Stadium Bishan, Singapura, skuad Harimau Malaya akan beraksi menentang Vietnam pada 12 Dis, sebelum melengkapkan jadual peringkat kumpulan ke atas Indonesia pada 19 Dis.
-- BERNAMA
#Khairul Fahmi Che Mat #harimau Malaya #Piala AFF
;