Perlu nilai semula sukan teras, jika tidak Malaysia akan ketinggalan - Hannah
Fareez Azman
Mei 21, 2023 13:20 MYT
Mei 21, 2023 13:20 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menilai semula sukan teras sedia ada dalam usaha memperbaiki mutu sukan negara terutama melibatkan kejohanan di peringkat antarabangsa.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sekiranya tidak dinilai semula dikhuatiri negara akan ketinggalan berbanding negara lain yang semakin ke hadapan.
"Untuk menilai semula sukan teras, sukan sepak takraw juga telah meminta perkara sama. Dalam perubahan terkini, kita sudah meminda Akta Pembangunan Sukan, sekarang kita sudah gazet 103 sukan (sukan teras).
"Perubahan sentiasa berlaku dimana banyak sukan-sukan baharu telah muncul. Kalau kita tidak kaji semula sukan teras, kita akan ketinggalan.
"Itu sebab kita akan menilai semula sukan-sukan teras untuk pastikan kita berjalan bersama dengan luar negara dimana sukan baharu popular dengan akar umbi mungkin kita perlu berikan peluang juga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Peringkat Kebangsaan 2023 di Stadium Titiwangsa di sini pada Ahad.
Tambah Hannah, kajian semula itu akan melibatkan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
"Kita kena bawa perbincangan bersama dalam Kabinet bersama KPM dan KPT, kerana akar umbi dan bakat-bakat muda hadir di institusi sekolah dan pendidikan tinggi kerana banyak kegiatan sukan berjalan di dalam tapak sekolah.
"Itu sebab untuk kita pastikan kita dapat platform paling besar, kita tak boleh bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atau peringkat Putrajaya atau kebangsaan. Di negeri masing-masing kita kena giatkan lagi (kejohanan sukan baharu).
"Sebab itu bila ada geran padanan yang diluluskan KBS sebanyak RM40 juta itu, kalau kita guna banyak kejohanan seperti hari ini, ia melahirkan minat baharu dalam sukan, kedua, persatuan sukan dapat tengok bakat-bakat baharu untuk menonjolkan diri mereka," katanya lagi.