Perlu ada mentaliti juara untuk gapai emas Olimpik - Bekas Olimpian
Bernama
Julai 15, 2024 10:35 MYT
Julai 15, 2024 10:35 MYT
TAIPING: Mentaliti juara perlu ada dalam setiap diri atlet negara yang menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memastikan sasaran mengenggam sebutir emas berjaya direalisasikan.
Bekas atlet Olimpik Junaidah Aman, 69, berkata ia diakui bukan satu tugas mudah namun berbekalkan latihan yang mencukupi, segala rintangan akan mampu diatasi oleh atlet negara.
"Pengorbanan daripada segi masa dan latihan itu perlu lebih baik berbanding orang lain. Kalau sama sahaja tahapnya kita tak boleh menang.
"Macam saya dulu, kita bagi tumpuan pada latihan tapi daripada segi fasiliti kita masih kurang dan ia menyebabkan kita tak capai standard untuk bersaing bagi pemburuan pingat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Bekas Atlet-Atlet Taiping di Baron di sini, hari ini.
Bekas ratu trek negara yang menyertai Sukan Olimpik Munich 1972 bagi acara 400 meter itu berkata dengan bantuan dan kemudahan diberikan pelbagai pihak termasuk kerajaan, ia seharusnya menjadi pemangkin kepada para atlet untuk menggapai kejayaan.
Sementara itu, seorang lagi bekas Olimpian S. Sivaraman, 74, berkata pembangunan di peringkat akar umbi perlu dilakukan oleh pihak terlibat bagi memastikan lebih ramai atlet berkelas dunia dapat dilahirkan dalam pelbagai jenis sukan.
"Tiada ramuan rahsia, membina kekuatan dalam bidang sukan perlu bermula daripada peringkat usia 8 tahun dan seterusnya. Pihak yang terlibat perlu banyakkan pertandingan untuk cungkil bakat-bakat baru.
"Perkara ini yang dilakukan di China, India dan kuasa besar sukan yang lain. Kalau kita ikut pendekatan ini saya percaya kita juga boleh berjaya," kata bekas pegawai Penjara Kajang yang menyertai Olimpik Munich 1972 dalam acara 4x400 meter.
Malaysia bakal menyertai temasya Sukan Olimpik Paris 2024 bermula dari 26 Julai sehingga 11 Ogos 2024 melalui penyertaan 23 atlet dalam sukan badminton, renang, menembak, berbasikal, golf, pelayaran, memanah dan terjun.
Untuk rekod, pasukan negara tidak pernah membawa pulang pingat emas daripada kejohanan tersebut selain pencapaian terbaik dilakar pada 2016 di Rio de Jenario, Brazil dengan kutipan empat pingat perak dan satu gangsa.
-- BERNAMA