Perlawanan Liga Super Terengganu FC-NSFC ditunda

Bernama
Mac 8, 2022 16:47 MYT
MFL menzahirkan rasa simpati kepada barisan pemain dan pegawai NSFC yang disahkan positif COVID-19 dan berharap mereka yang terlibat akan kembali sembuh. - Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Perlawanan Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dijadual berlangsung esok, ditunda ke tarikh baharu susulan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pemain dan pegawai pasukan.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan, memaklumkan perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, terpaksa ditunda berikutan 15 pemain dan pegawai NSFC disahkan positif COVID-19.
"Selain itu, perlawanan antara kedua-dua pasukan berkenaan dalam pusingan pertama Piala FA 2022 pada Ahad, di venue yang sama juga terpaksa ditunda," menurut MFL dalam kenyataan di laman sesawang www.malaysianfootballleague.com hari ini.
Pada masa sama, MFL menzahirkan rasa simpati kepada barisan pemain dan pegawai NSFC yang disahkan positif COVID-19 dan berharap mereka yang terlibat akan kembali sembuh.
Sebelum ini, beberapa perlawanan Liga Super, Liga Premier dan Piala FA terpaksa dibatalkan sejak hujung minggu lepas apabila pemain dan pegawai pasukan dijangkiti wabak berkenaan.
-- BERNAMA
#MFL #Liga Super #COVID-19 #perlawanan ditunda