Perkembangan Kisona harus digilap - Roslin

Astro Arena
Disember 12, 2019 07:54 MYT
Kisona melakar kejutan meraih pingat emas perseorangan wanita dengan menewaskan barisan pemain yang lebih tinggi dalam ranking dunia. - Astro ARENA
BEKAS pemain badminton negara, Roslin Hashim, mahu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merencana program terbaik untuk ratu baru badminton Sukan SEA, S. Kisona, bagi meningkatkan lagi mutu permainannya supaya cemerlang di pentas lebih tinggi.
Kisona adalah antara bintang Sukan SEA Ke-30 di Filipina apabila melakar kejutan meraih pingat emas perseorangan wanita dengan menewaskan barisan pemain yang lebih tinggi dalam ranking dunia.
Bagi Roslin, bakat yang ada pada Kisona harus digilap dan BAM perlu mengambil langkah segera bagi memastikan pemain itu akan dapat membuat kejutan di arena antarabangsa.
"Apa yang telah dibuktikan oleh Kisona dengan meraih pingat emas merupakan satu kejutan buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia adalah sesuatu di luar jangkaan dan tumpuan untuk melakar kemenangan tidak diletakkan kepadanya," kata Roslin.
Kisona dipilih pada saat-saat akhir menggantikan Goh Jin Wei yang masih belum cergas selepas menjalani pembedahan usus.
BACA: Sukan SEA: Kejayaan Zii Jia, Kisona warnai hari gemilang kontinjen Malaysia
BACA: Beregu lelaki raih emas selepas 16 tahun
BACA: Sukan SEA penanda aras terdekat skuad badminton sebelum Tokyo
Roslin turut berbangga dengan pencapaian badminton yang meraih tiga daripada lima emas yang dipertandingkan dalam Sukan SEA.
"Kali terakhir Malaysia meraih tiga pingat emas adalah ketika Sukan SEA 1975. Ini sekali gus menjadi pencapaian terbaik skuad negara dalam temasya itu."
Selain Kisona, skuad badminton negara turut menyumbang emas menerusi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
#Aaron Chia #badminton #BAM #di luar jangkaan #Filipina #kejutan #Lee Zii Jia #rakyat Malaysia #Roslin Hashim #S Kisona #Soh Wooi Yik #Sukan SEA
;