Perkampungan atlet di Kemboja siap hujung bulan ini - CDM

Bernama
Mac 22, 2023 04:15 MYT
Mohd Nasir berkata ia satu perkembangan yang baik apabila persatuan menghantar anak buahnya memasuki pertandingan luar negara bagi mencari pengalaman di pentas berprestij. - Gambar fail BERNAMA
SHAH ALAM: Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali memaklumkan pembinaan perkampungan atlet di Phnom Penh, Kemboja, dijangka siap selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Beliau yang berhubung dengan wakil tuan rumah turut melahirkan perasaan lega susulan penyediaan kemudahan buat atlet yang menggalas cabaran negara di temasya dwitahunan itu berjalan lancar, terutama bagi memastikan fokus mereka tidak terganggu.
"Perkampungan atlet sukan SEA akan siap sebelum hujung bulan ini dan setakat ini saya dimaklumkan nama perkampungan atlet itu ialah 'Sport City', baru-baru ini oleh pihak Kemboja. Jadi, bila tahu perkara itu memang rasa lega sebab tempat tinggal atlet sudah ada.
"Saya juga difahamkan Kemboja akan mengadakan perasmian perkampungan atlet dan Stadium Morodok Techo iaitu salah satu venue pertandingan bola sepak pada 20 April ini. Namun, mungkin ketika itu saya tidak hadir kerana ia lebih kepada kerja pihak Kemboja," katanya.
Beliau yang diiringi timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee, berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan skuad bola tampar dan bola tampar pantai di Shah Alam, pada Rabu.
Pada Sukan SEA 2021 Hanoi, yang diadakan Mei lepas setelah ditangguh setahun kerana pandemik, Malaysia sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan kutipan 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.
Mengulas mengenai persediaan skuad bola tampar dan bola tampar pantai di Kemboja, Mohd Nasir berkata ia satu perkembangan yang baik apabila persatuan menghantar anak buahnya memasuki pertandingan luar negara bagi mencari pengalaman di pentas berprestij.
Sementara itu, jurulatih bola tampar Shamsaimon Mohd Sharit berkata kombinasi pemain muda dan berpengalaman nyata membuahkan hasil selepas merangkul pingat emas di Four Nations Cup di Maldives, Februari lepas, yang disifatkan sebagai pembakar semangat sebelum berjuang di Phnom Penh.
"Sekarang memang sudah mula berlatih sepenuh masa bermula Januari dan kita sasarkan sekurang-kurangnya pingat gangsa jika tengok pada persembahan pemain ketika ini.
"Dalam kumpulan sekarang, hanya ada tiga pemain lama dan yang lain baharu, namun saya yakin mereka mampu membantu antara satu sama lain," ujarnya.
Sukan SEA di Kemboja akan berlangsung pada 5-17 Mei ini.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #atlet #perkampungan atlet #mohd nasir ali
;