Perjuangan skuad wanita terhenti di suku akhir BATC 2024

Bernama
Februari 16, 2024 16:44 MYT
Pearly Tan (kiri) dan Thinaah Muralitharan beraksi menentang pasukan dari Indonesia Lanny Tria Mayasari dan Ribka Sugiarto pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Hasrat skuad wanita negara untuk melangkah ke pentas separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 tidak kesampaian, apabila tewas 0-3 kepada juara bertahan Indonesia pada saingan suku akhir hari ini.
Dalam saingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, K Letshanaa yang turun selaku perseorangan pertama terpaksa akur terlepas mata pertama apabila tunduk kepada Putri Kusuma Wardani 13-21, 21-18, 13-21.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah yang diharapkan dapat menyamakan kedudukan, bagaimanapun dikejutkan dengan kekalahan kepada Lanny Tri Mayasari-Ribka Sugiarto 14-21, 21-18 dan 15-21.
Wong Ling Ching yang mencatatkan kemenangan 21-14 pada set pertama, bagaimanapun tidak dapat meneruskan momentumnya sekali gus tunduk kepada Ester Nurumi Tri Wardoyo 15-21, 16-21.
Sementara itu, Thinaah yang juga ketua pasukan wanita berkata beliau juga kecewa dengan prestasi dirinya sendiri yang dipamerkan ketika dalam gelanggang.
"Saya agak kecewa dengan diri saya pada perlawanan hari ini...kita cuba lawan balik tapi pukulan mereka (Lanny Tria-Ribka) lebih konsisten," katanya.
Pearly pula memaklumkan beliau akan berbincang bersama barisan kejurulatihan yang diketuai Rexy Mainaky untuk mempelbagaikan corak permainan semasa bertemu lawan pada masa akan datang.
Rexy ketika ditanya mengenai peluang skuad wanita untuk beraksi di Piala Uber, April depan, beliau berkata perkara itu masih dalam pemerhatian.
"Kita masih memikirkannya...(mungkin) kita ada peluang berdasarkan ranking dunia," katanya.
- BERNAMA
#skuad badminton wanita negara #Kejohanan Badminton Berpasukan Asia #BATC #tewas kepada Indonesia
;