Perjalanan saya masih jauh - Farina Shawati

Bernama
April 10, 2018 09:01 MYT
Dalam acara keirin wanita yang berlangsung pada 8 April, Farina Shawati menamatkan saingan di tempat keempat selepas terpaksa melalui pusingan 'repechage' dan seterusnya ke peringkat separuh akhir dan akhir. - Gambar fail
Pelumba basikal trek muda negara, Farina Shawati Mohd Adnan tidak mahu terus berpuas hati dengan prestasi semasa beliau, sebaliknya mahu terus berusaha untuk mencipta kejayaan.
"Perjalanan saya dalam sukan berbasikal trek ini masih jauh. Saya tidak boleh terus berpuas hati dan perlu terus berusaha... sasaran utama saya dalam sukan yang saya sertai ini ialah beraksi di Sukan Olimpik," kata pelumba berasal dari Puchong, Selangor itu ketika ditemui sejurus tiba dari Gold Coast, Australia di KLIA2, awal pagi tadi.
Kejayaan melangkah ke peringkat akhir acara keirin adalah suatu pencapaian terbaik beliau dalam penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel.
"Ini bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Saya perlu bersaing dengan pelumba handalan dunia. Walaupun saya tidak berjaya mendapat pingat tetapi saya puas hati kerana mampu beri saingan yang kuat," kata pelumba berusia 22 tahun itu.
Menurutnya, kejayaan Muhammad Shahfirdaus Sahrom menewaskan juara dunia dalam acara pecut lelaki, telah melonjak semangat dan menyuntik motivasi kepada dirinya untuk mempamerkan prestasi yang sama.
Dalam acara keirin wanita yang berlangsung pada 8 April, Farina Shawati menamatkan saingan di tempat keempat selepas terpaksa melalui pusingan 'repechage' dan seterusnya ke peringkat separuh akhir dan akhir.
Acara keirin wanita Sukan Komanwel Gold Coast didominasi pelumba tuan rumah, Stephanie Morton dan Kaarle McCulloch yang masing-masing meraih emas dan perak manakala pingat gangsa menjadi milik pelumba New Zealand, Natasha Hansen.
Beliau juga merasa terkilan apabila pelumba senior, Fatehah Mustapa yang pada awalnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan layak untuk penentuan pingat, turun di kedudukan tercorot oleh komisar perlumbaan ekoran adanya protes daripada pelumba Kanada yang mendakwa Fatehah menghimpit dan menghalang kayuhannya.
"Kalau tidak, saya dan Fatehah akan fight untuk medal buat Malaysia," katanya.
Bagi Farina Shawati, Fatehah adalah idola beliau dalam sukan berbasikal dan rakan sepasukan yang baik dan perlu dicontohi.
"Saya perlu berusaha dengan lebih kuat lagi untuk mencapai tahap seperti Fatehah. Namun, untuk mengambil alih tempat Fatehah bukan dalam masa terdekat ini.
"Saya masih perlu sertai banyak kejohanan antarabangsa dan layak secara merit untuk mewakili negara di temasya sukan yang lebih besar seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik," katanya.
Menyentuh mengenai Sukan Asia Jakarta-Palembang yang bermula Ogos depan, Farina Shawati meletak sasaran untuk memenangi pingat khususnya dalam acara pecut berpasukan, bergandingan dengan Fatehah.
"Untuk Sukan Asia pula, ia mempunyai cabaran yang berbeza. Saingan dalam acara keirin dan pecut akan datang daripada pelumba China, Korea dan Hong Kong. Sasaran peribadi saya adalah untuk meraih podium," katanya.
-- BERNAMA
#Australia #basikal #basikal trek #Farina Shawati Mohd Adnan #Fatehah Mustapa #Gold Coast #Kanada #keirin #repechage #Sukan Komanwel #Sukan Olimpik
;