Perhitungan Terengganu-Kedah, bukan Steinbruckner-Nafuzi

Sinar Harian
Mac 1, 2023 09:24 MYT
Steinbruckner (kanan) berkata, ia bukan suatu kelebihan bagi TFC mengatasi Kedah dengan mudah walaupun pernah bekerja dalam satu pasukan dengan Nafuzi. - Foto Facebook Terengganu FC
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menjangkakan skuad Penyu bakal berdepan tentangan sengit pada aksi Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam ini.
Katanya, ia memandangkan Sang Kenari dibimbing bekas jurulatih TFC, Nafuzi Zain memiliki barisan pemain yang mantap dan berkualiti seperti Lee Tuck dan Manuel Hidalgo.
“Ia bukan suatu kelebihan untuk TFC mengatasi Kedah dengan mudah walaupun pernah bekerja dalam satu pasukan dengan Nafuzi.
“Ramai teruja dan bertanya bagaimana perasaan saya untuk berdepan cabaran daripada Nafuzi. Tapi antara saya dan Nafuzi, tiada pertandingan... tapi antara TFC dan Kedah.
“Nafuzi adalah jurulatih yang bagus dan mempunyai pasukan yang baik. Jadi, kita akan lihat siapa lebih bertuah atau berkualiti esok,” katanya selepas sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Sementara itu, pemain import TFC, Sony Norde menggesa rakan sepasukan supaya lebih agresif dan mencipta banyak peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari tempat lawan.
Katanya, semua pemain perlu segera membina keserasian dan persefahaman kerana ia faktor penting menentukan kemenangan pasukan.
“TFC ada ramai pemain baharu. Sudah tentu mengambil masa untuk membina keserasian dan persefahaman antara kami.
“Tapi kita perlu cepat sebelum terlambat. Perlawanan pertama selalunya suatu yang sukar. Tapi untuk perlawanan seterusnya, saya harap kita boleh berikan yang lebih baik untuk dapatkan tiga mata,” katanya. - Sinar Harian
#Terengganu FC #Liga Super #Nafuzi Zain #Tomislav Steinbruckner
;