Pergaduhan sudah dijangka - Kim Swee
Bernama
Ogos 11, 2018 08:12 MYT
Ogos 11, 2018 08:12 MYT
Perlawanan persahabatan antara pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam di sini pada Jumaat malam dicemari insiden pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan serta pegawai UAE.
Insiden berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan bermula apabila beberapa pemain serta pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan, dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.
Pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.
Mengulas insiden itu pada sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih B-23 negara Datuk Ong Kim Swee berkata pergaduhan tersebut sememangnya dapat dijangka kerana menjadi kebiasaan pasukan UAE atau mana-mana pasukan dari Asia Barat melakukan provokasi terhadap pasukan lawan apabila mereka ketinggalan.
"UAE merupakan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita, mereka tidak biasa ketinggalan, keadaan ini... provokasi sememangnya saya sudah jangka," katanya.
Beliau berkata insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemain negara dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bermula pertengahan bulan ini.
"Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak lawan, jika insiden ini berlaku semasa di Sukan Asia nanti ia akan merugikan kita," katanya.
Pada Sukan Asia nanti anak buah Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan manakala UAE pula dalam Kumpulan C dengan China, Timor Leste dan Syria.
Pada perlawanan malam ini Malaysia mengatasi UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-64.
-- BERNAMA
#B23
#bola sepak
#Emiriah Arab Bersatu
#Ong Kim Swee
#pasukan kebangsaan
#perlawanan
#provokasi
#shah alam
#UAE