Perebutan slot ke UCL semakin sengit

Ian Johan Ariff
Mei 7, 2018 15:21 MYT
Olivier Giroud menjaringkan gol kemenangan menentang Liverpool semalam. - Foto Stadium Astro.
Walaupun sebelum ini slot kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bagi Liga Perdana Inggeris (PL) seakan pasti milik Liverpool dan Tottenham Hotspur, namun semuanya sudah berubah minggu ini.
Siapa sangka, di penghujung musim liga ini, pasukan yang pernah mendahului dengan 12-15 mata dihadapan pasukan yang menduduki tempat kelima liga PL, Liverpool kemungkinan hilang slot kelayakan automatik ke UCL.
Bagi peminat, kehilangan pembantu pengurus Liverpool, Zeljko Buvac memberi kesan kepada persembahan the Reds apabila kalah dua perlawanan berturut-turut, walaupun berjaya layak ke final UCL dengan kelebihan agregat 7-6 ke atas Roma.
Anak buah, Jurgen Klopp berjaya menguasai 68% perlawanan dalam perlawanan menentang Chelsea di Stamford Bridge namun tumpas kepada gol Olivier Giroud pada minit ke-32.
The Reds kelihatan buntu untuk mencari penyudah dan kebanyakan hantaran penting mereka dipintas Chelsea yang mengatur strategi pertahanan yang berkesan.
Tottenham pula tumpas kepada West Bromwich Albion dalam perlawanan yang menyaksikan Spurs bolos pada minit terakhir permainan, menerusi jaringan pemain West Brom, Jake Livermore pada Sabtu, walaupun menguasai 74% perlawanan.
Kedua-dua pasukan, Spurs dan Chelsea mempunyai kelebihan baki satu perlawanan yang perlu dimainkan pada pertengahan minggu ini.
Spurs boleh memintas Liverpool di tempat ketiga, jika mereka mencapai kemenangan pada Rabu manakala Liverpool perlu menang perlawanan terakhir pada Ahad untuk sahkan kelayakan.
Spurs perlu menang baki perlawanan menentang Newcastle United dan Leicester City pada hari terakhir PL musim ini manakala Chelsea perlu menang menentang Huddersfield untuk memberi tekanan kepada Liverpool.
Jika menang baki perlawanan yang ada, Chelsea akan mengutip 75 mata, sama dengan Liverpool jika mengatasi Brighton, namun the Reds mempunyai kelebihan perbezaan gol yang lebih tinggi untuk kekal dalam kelompok empat pasukan terbaik.
Chelsea pula mengharapkan Spurs dan the Reds tercicir mata untuk layak.
Jika Liverpool gagal menang perlawanan terakhir, mereka tiada pilihan melainkan mengalahkan Real Madrid dalam final UCL pada 27 Mei ini, untuk memastikan mereka layak menduduki slot 26 pasukan yang layak secara automatik dalam peringkat kumpulan UCL, berdasarkan format baru kelayakan yang diperkenalkan UEFA baru-baru ini.
Liverpool akan menerima kunjungan Brighton di Anfield dalam perlawanan yang terakhir pada Ahad 13 Mei sebelum menentang Madrid di Kiev.
Tidak dinafikan Liverpool mampu untuk melakar kemenangan dalam dua baki perlawanan tersebut, jika trio Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane berjaya mendapat sokongan yang baik daripada rakan sepasukan mereka dan pertahanan Liverpool berjaya bermain dengan berkesan.
#Chelsea #Jake Livermore #jurgen klopp #Leicester #Liverpool #Newcastle United #Premier League #Real Madrid #The Reds #Tottenham Hotspur #UCL #West Brom #Zeljko Buvac
;