Perebutan kuasa dalam Pafa memalukan - Exco

Abd Razak Mohd Ali
Mac 3, 2022 18:11 MYT
Khairul Shahril berkata, perebutan kuasa yang berlaku mungkin akhirnya menyebabkan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. - Gambar fail
IPOH: Pergolakan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) adalah sesuatu yang memalukan, kata Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.
Menurutnya, perebutan kuasa yang berlaku mungkin akhirnya menyebabkan ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan pergolakan yang berlaku, ketika Perak FC sedang menghadapi masalah untuk bergerak.
“Dalam keadaan mereka tengah ‘struggle’ untuk bergerak akhirnya kita ada konflik di bawah, ini satu benda yang tak baik untuk sukan, untuk Pafa sendiri,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program mengaktifkan semula Akademi Golf Negeri Perak di sini, hari ini.
Beliau mengulas pertelingkahan dua pihak berhubung pelantikan pucuk pimpinan Pafa yang berlarutan sejak tahun lalu.
Khairul Shahril berkata, pertelingkahan yang berlaku juga memberi gambaran buruk kerana berlaku ketika pasukan dilanda berbagai masalah seperti gaji dan pendaftaran pemain.
"Pada saya sebenarnya jawatan dalam Pafa ini tak perlu direbut dan sepatutnya masing-masing menolak, (malah) kalau saya jadi mereka saya sendiri menolak jika ada tawaran untuk saya memegang atau terlibat dalam Pafa kerana tanggungjawab cukup besar.
“Pada saya, kena letakkan tanggungjawab sebagai keutamaan kita untuk organisasi itu,” ujarnya.
Menurutnya, Pesuruhjaya Sukan (PJS) adalah badan yang paling baik untuk menguruskan konflik itu.
“Saya difahamkan PJS dah mula dah bergerak dan akan panggil semua pihak yang terlibat dalam isu ini untuk mereka akhirnya buat keputusan,” tambahnya.
Sehubungan itu, Khairul Shahril menyeru semua pihak menerima apa juga keputusan yang akan dibuat oleh PJS.
“Kita akurlah, janganlah dipanjang-panjangkan lagi keran ia akhirnya tak akan menyelesaikan masalah tapi lebih menambahkan masalah dan lebih menyulitkan lagi keadaan,” katanya.
#Perak #PAFA #perebutan kuasa #memalukan
;