Perdaya pemain bola sepak 19 tahun, ejen ditahan
Noraniza Kamsani
Februari 20, 2018 21:41 MYT
Februari 20, 2018 21:41 MYT
Seorang ejen bola sepak ditahan selepas dipercayai memperdaya seorang warga asing membabitkan kerugian RM3,000 untuk dijadikan pemain kelab bola sepak yang tidak wujud di Sarawak.
Suspek berusia 41 tahun ditahan di dihadapan sebuah rumah di Taman Bukit Mentakab di sini pada jam 6.11 petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek dipercayai memperdayakan seorang pemain bola berusia 19 untuk membolehkan mangsa bermain di Sarawak.
"Untuk tujuan itu, pada 13 Februari lalu, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM3,000 kepada suspek di hadapan sebuah bank di Mentakab.
"Bagaimanapun selepas penyerahan wang berkenaan, mangsa tidak dapat berhubung dengan agen berkenaan sebelum membuat laporan polis," katanya.
Tambahnya lagi, hasil semakan ke atas Persatuan Bola Sepak Sarawak mendapati tiada sebarang tawaran pemain luar dibuat atas nama mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.