Perdana Menteri rasmi Sukan Para ASEAN KL2017

Bernama
September 17, 2017 22:37 MYT
Kontinjen Negara ASEAN mula memenuhi stadium pada majlis pembukaan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (APG KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini. --fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini secara rasmi mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dirasmikan di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.
Najib tiba pada 8.20 malam diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Selepas menyampaikan ucapan, Khairy menjemput Perdana Menteri untuk mengisytiharkan Sukan Para ASEAN (APG) ke-9 KL2017 dirasmikan.
Najib sambil berdiri di rostum berkata: "Dengan nama Allah, saya dengan ini mengisytiharkan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 dirasmikan."
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tiong Lai, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasarudin SM Nasimuddin adan penaung MPM Tun Jeanne Abdullah.
Edisi kesembilan Sukan itu yang akan berlangsung sehingga 23 Sept menghimpunkan kira-kira 1,421 atlet dari 11 negara iaitu Indonesia, Filipina, Singapore, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan tuan rumah Malaysia.
Sebanyak 368 pingat emas menjadi rebutan dalam 16 acara sukan iaitu jumlah acara sukan paling banyak yang dipertandingkan dalam sukan itu.
-- BERNAMA
#Khairy Jamaluddin #KL2017 #Najib Razak #Sukan Para ASEAN ke-9
;