Perbincangan destinasi pengajian Muhammad Azeem dalam masa terdekat
Bernama
Julai 11, 2022 16:29 MYT
Julai 11, 2022 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai hala tuju pelari pecut muda negara Muhammad Azeem Fahmi bakal terjawab apabila satu perbincangan secara bersemuka bersama atlet yang sedang meningkat naik itu, berlangsung dalam masa terdekat.
Ketua Jurulatih skuad olahraga kebangsaan Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata perbincangan itu bagi mencari persefahaman dalam memuktamadkan destinasi Muhammad Azeem yang menerima beberapa tawaran melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.
Katanya selain Muhammad Azeem, perbincangan tersebut turut melibatkan banyak pihak termasuk ibu bapa atlet berusia 18 tahun itu dan jurulatihnya Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah.
"Kita sudah dengar tawaran dari UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris), UiTM (Universiti Teknologi MARA) ingin berbincang dan (tawaran) dari luar negara, tapi semua itu masih dalam perbincangan.
"Ia (keputusan) tak dapat nak diputuskan sehingga perbincangan dapat berjalan dengan bersemuka bersama Azeem, ibu bapa dan jurulatihnya untuk melihat mana yang terbaik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
SUKAN-OLAHRAGA (MUHAMMAD AZEEM) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Tanpa prejudis, Mohd Manshahar secara peribadi berpendapat tidak salah Muhammad Azeem yang mendapat julukan 'Usain Bolt Malaysia' memilih untuk menyambung pelajaran di luar negara.
"Kalau dapat tajaan yang baik dan tempat yang bagus, saya rasa tidak salah Azeem pilih pergi ke luar negara...itu hak dia untuk memilih. Bagaimanapun, saya rasa yang penting adalah apa yang terbaik untuk beliau berada dalam kelompok (pelari) terbaik dunia," katanya.
Bulan lepas, UPSI menawarkan program pengajian diploma dan biasiswa bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik dan sukan Muhammad Azeem yang memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh itu turut dilaporkan menerima dua tawaran di luar negara iaitu Universiti Winona dan Minnesota.
Awal bulan ini, Muhammad Azeem yang mempunyai catatan peribadi terbaik 100 meter (m) 10.28 saat (s) dan 200m (20.89s) berjaya mengesahkan penyertaan dalam kedua-dua acara itu pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia dari 1 hingga 6 Ogos ini.
Beliau sebelum ini melalui detik pahit dalam penampilan sulungnya di Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam, Mei lepas selepas penyertaannya dalam 100m dibatalkan susulan 'false start'.
-- BERNAMA