Perbelanjaan Sukma wajar dikeluarkan untuk pembangunan atlet muda - Hannah

Bernama
Julai 14, 2024 05:15 MYT
Hannah Yeoh (empat, kanan) bergambar bersama bekas atlet yang hadir pada Majlis Jamuan Makan Malam Bekas Atlet-Atlet Taiping Bersama Menteri Belia dan Sukan di Taiping, 14 Julai 2024. --fotoBERNAMA
TAIPING: Setiap negeri yang bertanding pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini tidak sepatutnya menjadikan kekangan kewangan sebagai alasan untuk meminta supaya penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ini kerana temasya sukan itu merupakan satu keperluan dalam memastikan negara tidak ketandusan bakat muda.
"Perkara itu perlu diletakkan sebagai keutamaan selain perincian berhubung penganjuran Sukma tersebut telah dimaklumkan pada Menteri Besar dan Ketua Menteri sejak tahun lepas.
"Bagi saya alasan meminta penganjur menanggung sebahagian perbelanjaan adalah tidak adil kerana Sarawak dan Sabah umpamanya turut berdepan perkara sama. Saya kira tak banyak peruntukan untuk menghantar kontinjen ke Sarawak dan ia adalah perbelanjaan yang wajar untuk negeri," katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Makan Malam Bekas Atlet-Atlet Taiping di sini semalam.
Pada 10 Julai lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu ke Sukma bagi meringankan beban ditanggung termasuk tiket perjalanan dan membawa peralatan.
Dalam pada itu, Hannah berkata beliau kecewa kerana banyak acara sukan membabitkan wanita pada kejohanan kali ini dibatalkan ekoran kurang penyertaan disebabkan beban perbelanjaan.
Beliau berkata ia tidak adil memandangkan populasi wanita mewakili hampir separuh daripada bilangan keseluruhan penduduk selain turut membantutkan prestasi para atlet muda.
Sementara itu, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meminta Majlis Sukan Negara (MSN) mewujudkan kejohanan sukan peringkat kebangsaan bagi kategori terbuka sebelum hujung tahun ini dan bakal menggunakan model penganjuran SUKMA sebagai asas utama menjayakannya.
"Sukan adalah untuk semua. Tugas KBS bukan hanya jaga atlet di usia 18 hingga 21 tahun sahaja. Kalau anda berumur 40 tahun atau 50 tahun dan masih aktif terlibat dalam sukan maka ia tetap di bawah bidang kuasa KBS.
"Jadi saya fikir platform ini boleh digunakan oleh mereka yang berusia mungkin dari 30 hingga 50 tahun untuk bersaing secara kompetitif. Pada masa yang sama ia menyumbang kepada amalan gaya hidup sihat," katanya.
-- BERNAMA
#perbelanjaan #pembangunan atlet #SUKMA #Hannah Yeoh
;