Perbandingan Messi, Dybala 'satu jenaka'

Astro Arena
Januari 15, 2018 10:25 MYT
Cassano, menyifatkan perbandingan antara Paulo Dybala (kanan) dan Lionel Messi (kiri) sebagai satu jenaka kerana bintang Barcelona itu berada di tahap yang lebih tinggi. - REUTERS/Fail
BEKAS penyerang Itali, Antonio Cassano, menyifatkan perbandingan antara Paulo Dybala dan Lionel Messi sebagai satu jenaka kerana bintang Barcelona itu berada di tahap yang lebih tinggi.
Pada musim lalu, Dybala bersama Juventus menyaksikannya menyinar apabila mencatat 11 jaringan, sekaligus membantu Bianconeri mengutip kejuaraan Serie A kali keenam berturut-turut.
Tahap kreativiti dan kualiti tinggi yang dipamerkan menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu dikatakan mempunyai peranan yang sama seperti Messi ketika bersama Barca dan Argentina.
Walaupun dibelenggu masalah di luar padang sehingga memberikan tekanan buat bekas penyerang Palermo itu, Dybala tetap menyumbat 14 gol hasil daripada 19 penampilan liga pada musim ini, namun Cassano tetap merasakan bahawa dia masih jauh daripada mencapai tahap seperti Messi.
"Dia adalah seorang pemain yang hebat tetapi bukan seorang juara," kata Cassano kepada Corriere dello Sport.
"Dybala dibandingkan dengan Messi pada musim lalu dan ia membuatkan saya ketawa. Ia hanya satu jenaka. Dalam Serie A, cuma Gonzalo Higuain, Miralem Pjanic dan Gianluigi Buffon yang menjadi juara sebenar," katanya.
Cassano juga tidak teruja dengan pencapaian pengendali Napoli, Maurizo Sarri, walaupun pengurus berusia 59 tahun itu kini mengutip satu mata lebih banyak berbanding Juve untuk berada di takhta liga.
"Sarri mengendalikan pasukan dengan baik tetapi jika saya seorang pemain, saya tidak mahu bermain di bawahnya.
"Untuk menguruskan sebuah pasukan juara seperti yang dilakukan oleh Jose Mourinho, Massimiliano Allegri serta Pep Guardiola jauh lebih sukar."
#Antonio Cassano #Lionel Messi #Paulo Dybala
;