Perbalahan Kafa, PBNJ berterusan

Astro Awani
Januari 18, 2013 22:31 MYT
Perbalahan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berterusan susulan kekecohan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baru pada 15 Januari.
Selepas Presiden PBNJ Tunku Ismail Ibrahim membuat kenyataan, penasihat Kafa Tan Sri Annuar Musa pula tampil menjelaskan isu keselamatan di stadium berkenaan.
Annuar menjelaskan mengapa Kafa tidak menempatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ketika pertemuan Kelantan-Darul Takzim FC Selasa lalu.
"Kita sudah ada pagar sekeliling. Jika FRU berada disana, ianya hanya akan memprovokasi penonton untuk membaling benda ke arah polis. Tetapi kita ada ratusan polis yang berpakaian seragam dan berpakaian reman di venue berkenaan," kata Annuar Musa.
Mengulas mengenai aduan daripada penyokong yang menyatakan mereka dibaling botol dan batu, Annuar berkata; "Yang berkalu malam itu semua ikut perancangan yang saya buat bersama setiausaha PBNJ. Tidak ada apa-apa yang luar biasa tetapi dibaling benda, itu benar kerana saya pun dibaling objek."
Tunku Ismail sebelum ini melahirkan kekecewaan terhadap pengurusan Kafa yang didakwa tidak membuat persediaan baru bagi menjaga keselamatan penyokong Johor pada perlawanan tersebut.
#football #kelantan FA #Kota Baru #Persatuan Bola Sepak Johor #Stadium Sultan Muhammad IV #Tan Sri Annuar Musa #Tunku Ismail Ibrahim
;