Perbaiki sistem pengurusan dan kualiti padang bola nasional - Pejuang Muda
Kenyataan Media
Jun 13, 2022 09:30 MYT
Jun 13, 2022 09:30 MYT
BERIKUT kenyataan media exco sukan Pejuang Muda Malaysia Aliff Jamil berhubung isu pengurusan stadium dan sistem perparitan padang bola.
1. Berhubung isu penangguhan perlawanan bola sepak selama 30 minit disebabkan hujan kelmarin, PEJUANG Muda Malaysia menzahirkan rasa kesal terhadap pengurusan stadium padang bola bagi Perlawanan Antara Kelayakan Asia 2023 yang sedang berlangsung.
2. Cadangan penangguhan perlawanan bola selama 30 minit itu adalah disebabkan sistem perparitan padang bola di Stadium Nasional Bukit Jalil bermasalah.
3. Pengurusan padang bola Stadium Nasional Bukit Jalil itu adalah di bawah tatakelola Perbadanan Stadium Malaysia serta di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan.
4. Tindakan yang diambil oleh petugas Stadium malam kelmarin bagi membuang takungan air di padang bola adalah tidak wajar kerana secara tidak langsung boleh merosakkan kualiti padang bola.
5. Tindakan ini sekali gus mencerminkan ketidakcekapan sistem pengurusan padang bola nasional yang boleh menjejaskan reputasi sukan negara pada persepsi luar.
6. PEJUANG Muda Malaysia menggesa Kementerian Belia dan Sukan untuk mengambil berat dalam soal persiapan dan pengurusan padang bola Stadium dan mengendalikan sebarang acara berkaitan yang melibatkan penggunaan pada sukan bola sepak nasional agar kualiti padang bola dapat ditingkatkan serta pengurusan stadium yang lebih efisien untuk masa akan datang.
7. PEJUANG Muda Malaysia juga turut menggesa Kementerian Belia dan Sukan serta pihak yang terlibat mengambil tindakan drastik bagi membaik pulih sistem perparitan dan kualiti padang bola dengan secepat mungkin, sesuai dengan kos pembinaan padang bola yang dikatakan telah menelan hampir RM 10 juta.
ALIFF JAMIL
Exco Sukan, PEJUANG Muda Malaysia
Parti Pejuang TanahAir (PEJUANG)