Peraturan baharu bukan batu penghalang kemaraan kem silat di Kemboja
Bernama
April 16, 2023 05:15 MYT
April 16, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Peraturan baharu kejohanan yang dipinda pada Disember lepas tidak menjadi batu penghalang buat kem silat negara mencipta kejayaan di pentas Sukan SEA Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata kem silat kali ini dibarisi 75 peratus muka baharu dan beliau yakin mereka tidak akan berdepan masalah dengan peraturan baharu itu berikutan persiapan rapi yang telah dilakukan sejak empat bulan lepas.
"Peraturan yang akan kita guna merupakan peraturan terkini. Ada pindaan selepas berlangsungnya Kejuaraan Silat Dunia di Melaka tahun lepas... saya dan Puan Bibi (Setiausaha Agung Pesaka Bibi Aisyah Golbal Shah) telah ke Jakarta untuk perhalusi balik serta cari kelemahan peraturan sedia ada untuk diperbaiki.
"Ia sesuatu yang baharu, mestilah ada trial and error namun (peraturan) kali ini lebih menarik seperti tidak boleh menggunakan dua tangan untuk menarik atau terlebih bergumpal... semua itu tidak ada. Kali ini hanya menggunakan satu tangan saja, jadi kekayaan teknik itu ada," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Megat Zulkarnain bagaimanapun memahami atlet senior akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan peraturan baharu kerana sudah terbiasa dengan yang lama.
"Strategi kita membawa atlet baharu ini adalah kerana mereka tidak terdedah dengan peraturan lama dalam jangka masa lama. Kalau dia dah duduk dalam kem silat contohnya lapan, tujuh atau enam tahun, dia sudah terbiasa dengan peraturan lama.
"Jadi segala pergerakan dia terbatas dengan peraturan lama. Tiba-tiba nak tukar ke peraturan baharu, dia juga terbatas... apapun, kita bagi masa kepada mereka (pesilat senior) untuk mengadaptasinya," kata beliau.
Kejuaraan Silat Dunia di Melaka yang berlangsung pada Julai tahun lepas menyaksikan pesilat negara bertindak menarik diri selepas mendakwa wasit pertandingan tidak berlaku adil semasa mengadili pertarungan sehingga menyebabkan beberapa pindaan dibuat kepada peraturan sedia ada.
-- BERNAMA