Peraturan atlet para wajib ditemani pegawai pengiring dikuat kuasa

Bernama
Februari 18, 2023 16:22 MYT
Hannah berkata, langkah itu diambil bertujuan memastikan keselamatan dan segala keperluan atlet para yang menyertai pertandingan dijaga sepanjang masa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menguatkuasakan serta-merta peraturan mewajibkan atlet para negara ditemani pegawai pengiring bagi sebarang penyertaan dalam pertandingan peringkat antarabangsa.
Menterinya Hannah Yeoh berkata langkah itu diambil bertujuan memastikan keselamatan dan segala keperluan atlet para yang menyertai pertandingan dijaga sepanjang masa, selain memastikan fokus serta tumpuan mereka tidak terjejas.
"Saya mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) menyelaraskan keperluan tersebut supaya atlet para diberi perhatian penuh dalam mempamerkan prestasi terbaik di setiap kejohanan atau pertandingan peringkat antarabangsa yang disertai," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, di sini hari ini.
Hannah berkata bagaimanapun, ketetapan mengenai jumlah pegawai pengiring disediakan buat atlet para negara itu, tertakluk kepada kuota penyertaan seperti ditetapkan penganjur.
Menurutnya MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan memastikan pegawai berpengetahuan dalam sesuatu sukan spesifik diberi tanggungjawab selaku pegawai pengiring tersebut.
"Keputusan itu selaras dengan Klausa 12.4 berkaitan Tadbir Urus, Peranan dan Tanggungjawab Petugas Sokongan Atlet dalam Kod Klasifikasi Atlet Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).
"Klausa berkenaan menjelaskan bahawa Petugas Sokongan Atlet boleh dilantik daripada kalangan jurulatih, petugas perubatan, ibu bapa ataupun mana-mana individu yang membantu atlet dalam perjalanan kerjaya mereka sebagai ahli sukan dan mestilah berpengalaman serta mematuhi semua garis panduan dan peraturan dalam Kod Klasifikasi IPC," katanya.
Hannah berkata KBS telah meletakkan keutamaan menyediakan peruntukan mencukupi supaya ia dapat disalurkan ke arah tujuan tersebut.
Sementara itu, mengulas prestasi kurang memuaskan skuad badminton negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Emiriah Arab Bersatu (UAE), beliau memaklumkan akan membuat pertemuan bersama atlet terlibat.
"Atlet perlukan fokus dan kekuatan mental yang mencukupi, pastikan keseimbangan itu ada. Kita tak boleh beri tekanan sahaja, mereka bukan robot, mereka manusia dan kita (tidak boleh) hanya mahukan keputusan terbaik sahaja tanpa mendengar permasalahan mereka," katanya.
Malaysia sekali lagi gagal menamatkan badi kekalahan di suku akhir pada kejohanan itu apabila skuad negara tewas 2-3 kepada skuad 'back-up' China semalam.
-- BERNAMA
#atlet para #pegawai pengiring #pertandingan #Hannah Yeoh
;