Perasmian Sukma ke-16 sederhana namun meriah

Bernama
Jun 29, 2013 09:26 MYT
Acara perasmian temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2013 berlangsung secara sederhana namun meriah dan penuh warna warni dengan pertunjukkan bunga api di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil di sini, malam ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan disaksikan kira-kira 1,000 penonton yang mula memenuhi stadium sejak 8 malam.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut menyampaikan ucapan pada majlis itu.
Sukma ke-16 yang berlangsung hingga 7 Julai itu menawarkan 132 pingat emas dan perak serta 206 gangsa bagi 22 acara. Ia disertai 3,602 atlet mewakili 14 kontinjen.
Terdahulu, ketibaan Muhyiddin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman disambut dengan persembahan lintas hormat pancaragam serta perarakan kontinjen.
Majlis perasmian itu turut memuatkan acara kawad senyap oleh 108 orang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dan persembahan tarian penuh warna warni oleh 150 pelajar sekolah.
Sementara itu, Khairy berkata temasya sukan tahunan itu menjadi tapak awal kepada kerajaan untuk melahirkan atlet-atlet bertaraf dunia.
"Saya berharap temasya kali ini menjadi landasan kepada atlet yang bertanding untuk menunjukkan kehebatan masing-masing," katanya.
Beliau turut meminta kerajaan-kerajaan negeri memberi perhatian serius kepada program pembangunan atlet dan aspek berkaitan seperti pembangunan jurulatih, kemudahan latihan dan pertandingan serta khidmat sokongan sains sukan.
Katanya, inisiatif kerajaan negeri dengan menyediakan peruntukan untuk melaksanakan program berkenaan, termasuk mendapatkan khidmat jurulatih dari negara luar dan menghantar atlet mereka berlatih di sana, membantu kerajaan pusat dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
#SUKMA
;