"Perasaan saya bercampur baur semalam" - Chong Wei ucap selamat maju jaya pada atlet Olimpik negara
Astro Awani
Julai 18, 2021 14:28 MYT
Julai 18, 2021 14:28 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara ke Olimpik Tokyo semalam.
Dalam masa sama, beliau mengakui perasaannya bercampur baur semasa turut sama menghantar atlet negara menaiki pesawat ke sukan dunia berprestij itu.
"Perasaan saya bercampur baur semalam. Biasanya saya yang selalu mengucapkan selamat tinggal dan terbang ke medan pertempuran.
"Kali ini, saya di sini menghantar kapal perang dengan melambaikan iringan doa saya," kata Chong Wei melalui satu entri di laman sosialnya pada Ahad.
Chong Wei sebelum ini dilaporkan tidak akan bersama atlet negara ke Tokyo bagi menghadapi temasya terbesar dunia berkenaan.
Beliau akur selepas mendapat nasihat doktor kerana faktor kesihatan selain kes COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.
Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu disahkan menghidap kanser hidung pada September 2018 tetapi selepas melakukan rawatan di Taiwan, dia disahkan bebas daripada penyakit berkenaan.
Seramai lapan pemain badminton bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo terdiri daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).