Perarakan kemenangan rai kejayaan KL City FC esok

Bernama
Disember 2, 2021 22:18 MYT
Satu perarakan kemenangan akan dianjurkan untuk membolehkan warga kota melihat secara lebih dekat piala berprestij itu. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bagi meraikan kejayaan pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC muncul juara Piala Malaysia edisi ke-100, satu perarakan kemenangan akan dianjurkan untuk membolehkan warga kota melihat secara lebih dekat piala berprestij itu dan pemain pasukan bola sepak kelab berkenaan.
Presiden KL City FC Tan Sri Annuar Musa berkata perarakan tersebut dijangka bermula di Dataran Merdeka sekitar 4.45 petang esok dan akan melewati Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Campbell, Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Bangunan KLCC, Menara KL, sekitar Bukit Bintang dan seterusnya akan berhenti di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata penyokong juga boleh meraikan kejayaan itu di sepanjang perjalanan dengan mengibarkan bendera Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan dan dijemput untuk berada di stadium berkenaan.
"Memandangkan kejuaraan ini amat bersejarah, iaitu kejuaraan siri ke-100 dan merupakan hadiah bermakna menjelang sambutan ulang tahun ke-50 Bandaraya Kuala Lumpur, saya ingin mengajak penyokong pasukan bola sepak Kuala Lumpur untuk bersama-sama meraikan kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC ini," katanya dalam kenyataan itu.
Penyokong juga akan dihiburkan dengan persembahan artis tempatan di stadium berkenaan sekitar 5 hingga 6.30 petang.
Acara itu dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku penaja utama pasukan KL City FC dan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan KL City.
Dalam aksi final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Selasa lepas, KL City FC mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0, sekali gus menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul kejuaraan piala berprestij itu.
-- BERNAMA
#Piala Malaysia #KL City FC #Annuar Musa #Dataran Merdeka
;