Perancis jelaskan sebab Kylian Mbappe dihantar pulang ke PSG
Astro Arena
September 4, 2021 09:54 MYT
September 4, 2021 09:54 MYT
KETUA jurulatih Perancis, Didier Deschamps, menjelaskan Kylian Mbappe dibenarkan pulang ke pangkuan Paris Saint-Germain (PSG) selepas mengalami kecederaan ringan.
Mbappe dikeluarkan di penghujung perlawanan kelayakan Piala Dunia ketika Les Blues seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina, kelmarin, akibat masalah betis.
Semalam, Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengumumkan Mbappe diberi izin untuk meninggalkan kem kebangsaan menjelang perlawanan menentang Ukraine, awal pagi esok, disusuli Finland (Rabu).
Kecederaan pemain berusia 22 tahun itu tidak dianggap serius tetapi Deschamps tidak bersedia mengambil risiko untuk mempertaruhkan penyerang yang produktif berkenaan dalam dua perlawanan berikutnya.
"Saya amat jelas mengenai hal ini. Kylian berasakan sesuatu di penghujung perlawanan lalu," kata Deschamps dalam sidang akhbar malam tadi.
"Kami telah menjalankan semua ujian. Tempoh pemulihan sangat singkat, mujur masalah otot ini dapat dielakkan tetapi masalah mengenainya tetap wujud.
"Kecederaan di telah berlarutan di kelabnya sejak Mei lalu. Dia berasakan kesakitan yang sama hingga terlepas pertemuan kedua menentang Manchester City di Liga Juara-Juara (UCL).
"Saya berasakan tidak kemungkinan dia mampu diturunkan sebelum pertembungan Rabu depan jadi saya tidak tahu apa manfaatnya jika kami mengekalkannya."
Walaupun meletakkan Mbappe untuk menjana rangkaian tiga penyerang di samping Antoine Griezmann dan Karim Benzema, Perancis hanya mampu seri dengan Bosnia-Herzegovina dalam pertembungan Kumpulan D, kelmarin.
Ia adalah perlawanan pertama Les Blues sejak tersingkir di tangan Switzerland di peringkat 16 Euro 2020, namun Deschamps tidak gusar dengan penampilan pasukannya sebelum menghadapi Ukraine di Kiev kelak.
"Saya berpengalaman luas untuk mengetahui bagaimana (proses) kelayakan ini berfungsi," katanya lagi.
"Keputusan menentang Bosnia bukanlah seperti yang kami harapkan tetapi kami berada di kedudukan yang terbaik. Saya kekal tenang."
Perancis menerajui kumpulan dengan empat mata lebih baik daripada Ukraine yang berada di tempat kedua selepas seri keempat-empat perlawanan.
"Dengan baki empat perlawanan lagi, Ukraine mengekori kami. Kemenangan akan mengukuhkan kedudukan kami tetapi Ukraine juga mahu menang," tambah Deschamps.
"Kami akan turun dengan hasrat yang sama seperti yang kami lakukan ketika menentang Bosnia. Setiap perlawanan adalah penting, khususnya esok."