Peranan Zainal Abidin di Melaka United timbul persoalan
Astro Arena
Disember 10, 2021 05:35 MYT
Disember 10, 2021 05:35 MYT
KEDUDUKAN Zainal Abidin Hassan bersama Melaka United musim depan masih menjadi tanda tanya berikutan seorang jurulatih import kini dalam perundingan bagi perkuat pasukan musim 2022.
Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United, Datuk Wira Justin Lim, mengesahkan Zainal masih dalam skuad dari Selatan itu tetapi belum sedia menjelaskan peranan sebenar yang bakal dimainkan bekas penyerang kebangsaan berkenaan selepas membawa kelab tersebut mara ke separuh akhir Piala Malaysia buat julung kalinya.
"Zainal sudah pasti akan kekal bersama Melaka United pada musim depan berikutan persembahan pasukan dalam Piala Malaysia. Tidak banyak perubahan yang akan dilakukan.
"Pada masa sama, kami dalam fasa akhir untuk mengikat seorang jurulatih dari Portugal.
"Kami akan umumkan sebelum Krismas tetapi sudah pasti dia akan kekal bersama kami," katanya.
Sang Kancil juga dalam usaha mengukuhkan bahagian pertahanan skuad itu menerusi kehadiran dua tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Syazwan Andik Ishak dan Fadhli Shas.
"Akan ada muka baru bagi membawa cabaran yang lebih jitu pada musim depan.
"Dua pemain ini dibawa masuk untuk memantapkan posisi tertentu dan mengurangkan kelemahan yang ada pada musim depan," katanya.