Peralatan sukan Sukma 13 di Melaka rosak, tidak digunakan selepas kejohanan berakhir

Bernama
April 7, 2014 18:41 MYT
Pelbagai peralatan sukan yang digunakan pada kejohanan Sukan Malaysia ke-13 (SUKMA XIII) di Melaka didapati tidak digunakan dan rosak sejak berakhirnya kejohanan itu pada Jun 2010.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1, peralatan gimnastik, angkat berat, tinju, wushu, pencak silat dan memanah yang tidak digunakan sejak SUKMA XIII 2010 berakhir, tidak dijaga dengan baik, tidak tersusun dan tiada tempat simpanan yang sesuai.
"Menurut pegawai Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM), antara sebab peralatan tidak digunakan kerana tempat latihan sedia ada telah dilengkapi peralatan dan pemasangan peralatan gimnastik memerlukan kepakaran dan kos yang tinggi.
Kesannya, peralatan menjadi rosak, tidak mencapai jangka hayat penggunaan sebenar dan mengakibatkan kerugian kepada MSNM," kata laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Sebagai contoh, peralatan sukan angkat berat yang disimpan di Stadium Hang Jebat didapati rosak dan berkulat serta tidak digunakan sejak hampir empat tahun lepas selain peralatan memanah di Lapang Sasar Memanah Ayer Keroh yang terbiar serta terdedah kepada hujan dan panas, katanya.
Dalam pada itu, laporan audit itu juga mendapati MSNM tidak menyediakan perancangan strategik pembangunan sukan di negeri itu.
"Perancangan strategik Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri (USPTN) tahun 2013 hingga 2016 yang merangkumi strategi penumpuan sukan, pengenalpastian bakat, program latihan dan penyertaan latihan didapati hanya meliputi Program Pelapis Negeri, ini menyebabkan kesukaran untuk mengukur pencapaian pembangunan sukan secara keseluruhan di negeri Melaka," katanya.
Pengukuran pencapaian pembangunan sukan hanya dilakukan berdasarkan pencapaian SUKMA dan petunjuk prestasi utama USPTN pada setiap tahun.
Semakan audit juga mendapati pungutan pingat emas Melaka dalam kejohanan SUKMA bagi tahun 2010 hingga 2013 tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
Pungutan pingat emas yang tertinggi adalah pada SUKMA ke-13 iaitu 32 atau 53.3 peratus daripada 60 pingat emas yang disasarkan semasa negeri itu menjadi tuan rumah manakala masing-masing empat pingat emas pada SUKMA ke-14, 2011 dan SUKMA ke-16, 2013 selain tujuh emas (SUKMA ke-15, 2012).
#Laporan Ketua Audit Negara 2013 #rosak #SUKMA
;