Perak yakin turunkan barisan terkuat
Astro Awani
Februari 14, 2013 08:49 MYT
Februari 14, 2013 08:49 MYT
Pengendali Perak, Azraai Khor Abdullah yakin dapat menurunkan barisan terkuat menjelang pertemuan dengan Terengganu dalam perlawanan bola sepak Liga Super Jumaat ini.
Selepas permulaan hambar di awal musim, Azraai mengesahkan beberapa tonggak utama pasukan sudah pulih daripada kecederaan masing-masing.
Tempoh rehat dua minggu Liga Super, memberi turut ruang buat beberapa tonggak utama Perak kembali mencapai tahap kecergasan terbaik.
Azraai mengesahkan, Shahrulnizam Mustaffa, V.Thirumurugan, S. Chanturu dan penyerang import, Karim Rouni bakal diturunkan.
Bekas pengendali Negeri Sembilan dan Kedah ini, sudah pun menguji pemain-pemain terbabit dalam aksi persahabatan berdepan pasukan liga FAM, Kedah United pada Selasa.
Perak kini menghuni tangga keenam Liga Super, dengan tujuh mata selepas lima perlawanan.
Justeru, kemenangan ke atas skuad Peteh diperlukan bagi mengukuhkan kedudukan.