Perak umum dua import baru

Astro Arena
Januari 10, 2018 06:48 MYT
Misagh (kiri) boleh bermain di posisi penyerang dan sayap kanan manakala Luiz sebagai penyerang, kata Abdul Puhat. - Foto Astro ARENA
MISAGH Misagh Bahadoran dan Wander Luiz Bitencourt Junior diumumkan sebagai import baru Perak dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, pemilihan itu dibuat berdasarkan pemerhatian dan penelitian ke atas apa yang terbaik untuk pasukan Perak.
"Misagh, 31, ketua pasukan kebangsaan Filipina, boleh bermain di posisi penyerang dan sayap kanan manakala Luiz, 31, sebagai penyerang.
"Kami boleh lihat gandingan ini bekerjasama dengan import sedia ada, Gilmar (Gilmar Jose Da Silva) dan Leandro (Leandro Dos Santos) serta bakat tempatan.
"Bagi kuota Asia pula, kami ada dua, tiga calon pertahanan. Oleh itu, saya akan umumkan kemudian," katanya.
Perak juga mengumumkan Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut sebagai stadium utama skuad The Bos Gaurus (TBG).
"Kami sedang menaik taraf beberapa perkara di situ (Stadium Lumut) mengikut piawaian yang diperlukan oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP)," katanya.
#Abdul Puhat Mat Nayan #bola sepak #liga m #Liga Malaysia #Misagh Bahadoran #pemain import #Perak #Wander Luiz Bitencourt Junior
;