Perak setuju terima geran KBS ganti rumput Stadium Perak

Bernama
Februari 2, 2024 05:00 MYT
Perak bersetuju menerima tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput baharu di Stadium Perak, sebagai persediaan menghadapi musim baharu bola sepak Liga Malaysia. - Gambar FB Perak Football Club
IPOH: Perak bersetuju menerima tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput baharu di Stadium Perak, sebagai persediaan menghadapi musim baharu bola sepak Liga Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dan bersetuju dengan tawaran tersebut.
"Kita dah terima surat tawaran daripada KBS baru-baru ini dan perkara ini sudah dibincangkan dalam MMK negeri Selasa lalu, memuktamadkan untuk terima tawaran yang dikemukakan KBS.
"Bagaimanapun kita masih belum memutuskan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia atau Bermuda, kerana mahu melihat kesesuaian penanaman rumput jenis apa yang paling sesuai," katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.
Khairudin berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Countdown Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) Kali ke-64 Tahun 2024, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, dekat sini.
Menteri KBS, Hannah Yeoh pada 9 Jan lalu berkata, kementerian menawarkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri, bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput bagi membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan musim baharu Liga Malaysia.
Daripada jumlah itu, RM300,000 untuk naik taraf saliran dan selebihnya untuk geran penanaman rumput yang dibayar kepada negeri.
Sementara itu, Khairudin berkata, Perak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Olahraga MSSM ke-64 dan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas ke-22 MSSM 2024, yang akan berlangsung Oktober depan.
Beliau berkata, Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM ke-22 dijadualkan bermula pada 6 hingga 10 Okt, manakala Kejohanan Olahraga MSSM pula bermula 18 hingga 25 Okt, bertempat di Stadium Perak dan Stadium Ragbi Perak.
Khairudin berkata, Perak menyasarkan berada dalam kedudukan tiga terbaik pada edisi kali ini.
"Besar harapan kita dapat memperbaiki kedudukan itu. Kita ada acara-acara yang memang jaguh antaranya lompat berpagar, lompat kijang dan larian jarak sederhana dan jauh.
"Dua atlet kita juga telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk Kejohanan Remaja Asia B20 di Dubai pada April nanti dan pencapaian ini sudah tentu memberi motivasi kepada barisan atlet lain," katanya.
- BERNAMA
#bola sepak #Stadium Perak #KBS #terima tawaran
;